CYBERJAYA – Kerajaan bersetuju kadar elaun anggota sukarela Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) diberi kenaikan RM2 sejam berkuatkuasa 1 Mac lalu dengan peruntukan bajet sebanyak RM24 juta setahun.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof berkata, bayaran elaun itu melibatkan Pegawai Sukarela APM berpangkat Staf Muda (Pertahanan Awam) dan keatas yang ketika ini menerima elaun RM7.80 sejam dinaikkan kadar elaun baharu menjadi RM9.80 sejam.
Menurut beliau, bagi anggota sukarela lain-lain pangkat atau LLP yang berpangkat Prebet hingga Pegawai Waran (Pertahanan Awam) yang menerima kadar elaun RM6 sejam kini dinaikkan kepada RM8 sejam.
“Kerajaan mengambil maklum dan prihatin terhadap kebajikan dan keperluan anggota sukarela APM yang turut merupakan anggota barisan hadapan khasnya ketika negara kini berdepan pandemk Covid-19.
“Kenaikan itu merupakan pengiktirafan kerajaan atas pengorbanan dan sumbangan bakti anggota APM,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Redzuan menambah, lebih 4,000 anggota sukarela APM bertugas membantu kerajaan mengawal bencana negara dan pusat kawalan operasi.
Menurut beliau, mereka juga menjaga kebajikan dan kesihatan orang dalam pemerhatian dan melaksanakan rondaan omnipresence.
“Rondaan itu bagi menasihati dan memantau pematuhan kepada perintah yang dikeluarkan.
“Mereka juga menyediakan bantuan logistik dan pembekalan bahan makanan kepada orang yang terjejas serta terputus bekalan,” ujarnya.
Justeru beliau berharap kenaikan kadar elaun itu menjadi suntikan dan pembakar semangat untuk meningkatkan lagi mutu perkhidmatan terbaik demi memastikan keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat di negara ini terus terjamin. – MT