Kadar pematuhan SOP tinggi, kerajaan ucap tahniah kepada rakyat

0
100

Oleh NINA FARZUIN MD SHAROM

CYBERJAYA – Kadar pematuhan orang ramai terhadap arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mencatatkan jumlah 95 peratus.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, walaupun tidak sepenuhnya namun sebagai peringkat permulaan pencapaian itu di peringkat yang baik.

“Oleh kerana PKPB pun baru bermula dan masih berada di peringkat nasihat, pematuhan orang ramai adalah agak tinggi.

“Saya kira walaupun tidak ada peraturan yang begitu ketat seperti yang pernah kita lakukan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa satu hingga tiga, tapi orang ramai mulai sedar tentang peranan masing-masing untuk menjaga keselamatan diri.

“Saya percaya kawalan kendiri telah pun bermula dilaksanakan oleh rakyat dan sayaa bagi pihak kerajaan ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada rakyat kerana mampu mendisiplinkan diri demi keselamatan kita semua,” katanya pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Pada masa sama, beliau memaklumkan bahawa semua peraturan dan SOP PKPB sebelum ini akan kekal berkuatkuasa susulan pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai PKPB dilanjutkan sehingga 9 Jun depan.

“Sebarang perubahan SOP akan dimaklumkan oleh pihak kerajaan dari semasa ke semasa,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here