Kakitangan kerajaan dibenar bekerja dari rumah, guna sistem penggiliran

0
147

CYBERJAYA – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kakitangan kerajaan yang mula beroperasi pada Isnin minggu hadapan dibenarkan bekerja dari rumah kecuali bagi proses kerja yang memerlukan keberadaan di pejabat.

Perdana Menteri berkata, sesi mesyuarat juga digalakkan diadakan secara dalam talian dengan menggunakan medium yang selamat.

“Bagi mereka yang mempunyai kesulitan penjagaan anak-anak di rumah, kerajaan membenarkan penggiliran pekerja selain melaksanakan waktu bekerja anjal.

“Saya minta supaya semua Ketua Jabatan mengadakan perbincangan di peringkat jabatan masing-masing untuk menyusun semula keperluan sumber manusia di jabatan dengan mengutamakan konsep bekerja dari rumah,” katanya dalam Perutusan Khas Perdana Menteri sempena Hari Pekerja hari ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut mencadangkan pihak majikan sektor swasta supaya menggalakkan pekerja bekerja dari rumah sebagai salah satu langkah menyelesaikan masalah penjagaan anak ketika wabak Covid-19 masih belum pulih sepenuhnya.

Perdana Menteri berkata, perkara tersebut merupakan norma baharu yang yang mesti diamalkan dalam tempoh waktu sekarang.

“Bincang dengan pekerja, mana-mana tugas yang boleh dibuat di rumah, buat di rumah. Ini lebih baik. Mungkin boleh susun jadual hari bekerja secara selang seli. Hari ini masuk pejabat, esok bekerja dari rumah.

“Saya fikir ini juga boleh menyelesaikan masalah penjagaan anak. Walaupun pusat-pusat penjagaan kanak-kanak akan dibuka dengan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) kesihatan yang tertentu, saya tahu ramai ibu bapa yang bimbang untuk menghantar anak-anak mereka,” katanya.

Muhyiddin berkata, langkah tersebut secara tidak langsung dapat mengurangkan jumlah kanak-kanak di pusat penjagaan dan lebih mudah untuk penjaga mengurus anak-anak berkenaan mengikut SOP kesihatan yang ditetapkan.

“Jadi saya nak minta tolong dengan majikan jika boleh benarkan pasangan suami isteri yang ada keperluan untuk menjaga anak-anak kecil di rumah supaya dibenarkan bekerja every alternate days atau bekerja dari rumah,” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here