
KUALA LUMPUR- Seorang kakitangan Kementerian Luar disahkan positif Covid-19 selepas menjalani ujian saringan kesihatan di kementerian tersebut.
Jangkitan Covid-19 tersebut merupakan kes yang pertama melibatkan kakitangan Wisma Putra.
Menterinya, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussien berkata, pesakit yang tidak menunjukkan sebarang gejala itu sedang mendapat rawatan lanjut di Hospital Sungai Buloh.
“Wisma Putra telah mengenal pasti sejumlah kakitangan dari beberapa bahagian di Wisma Putra termasuk Pejabat Menteri yang mempunyai kontak rapat dengan individu disahkan positif.
“Kesemua kontak rapat ini telah diarah menjalani saringan kesihatan yang dikendalikan Kementerian Kesihatan (KKM) pada hari ini, 30 Mei lalu. Selain itu, mereka juga akan menjalani kuarantin wajib di rumah selama 14 hari bermula hari ini.
“Dalam pada itu, susulan pengesanan kes pertama ini, kerja-kerja nyahkuman di premis Wisma Putra dengan kerjasama KKM serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia akan dilakukan serta-merta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hishamuddin turut mengingatkan semua kakitangan dan pelanggan kementerian agar sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan KKM termasuk mengamalkan pencegahan dengan memakai topeng muka, kerap membasuh tangan dengan sabun atau hand sanitizer, memastikan penjarakan sosial serta sentiasa memeriksa suhu badan.