Kaunter zakat pandu lalu MTMZA mudahkan pembayar zakat

0
225

PUTRAJAYA- Kaunter pandu lalu zakat fitrah yang beroperasi di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA) terus menjadi pilihan penduduk sekitar untuk menunaikan zakat.

Kaedah berkenaan ternyata memudahkan orang ramai untuk membayar zakat dengan cepat dan mudah tanpa perlu ke kaunter terutamanya memasuki 10 terakhir Ramadan ini.

Menurut Imam Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Hamdan Muhamad, kutipan zakat di masjid berkenaan sentiasa meningkat sejak kaunter pembayaran pandu lalu diperkenalkan pada 2012.

Beliau berkaya, sebanyak lapan orang amil akan bertugas mengikut sistem penggiliran berjadual di kaunter itu dan ianya beroperasi pada pukul 9 pagi hingga 7 petang setiap hari.

“Setiap hari kita sediakan 12 buku resit dan lazimnya ia habis digunakan. Purata kuripan pula boleh mencecah RM5,000 sehari. 10 terakhir Ramadan ini makin ramai buat pembayaran.

“Kita juga memberi perhatian kepada aspek keselamatan. Amil bertugas memakai penutup mulut dan hidung. Amil yang tidak sihat tidak dibenarkan bertugas.

“Kaunter pandu lalu ini memudahkan orang ramai membuat pembayaran zakat fitrah dengan lebih cepat, lebih mudah dan lebih teratur,” katanya ketika ditemui Malakat Tribune hari ini.

Menurut Hamdan, kutipan zakat di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin adalah antara tertinggi di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan itu hasil daripada kaunter zakat pandu lalu.

“Kaunter zakat pandu lalu ini akan dibuka sehingga malam raya, hari terakhir Ramadan nanti kita akan buka kaunter pada waktu malam untuk memudkan pembayar zakat,” katanya.

Sementara itu, pembayar zakat yang ditemui menyatakan penyediaan kaunter pandu lalu sememangnya menyenangkan orang ramai yang ingin menunaikan zakat.

Mohd. Hilman Hassan berkata, dia sudah tiga tahun membuat pembayaran di kaunter pandu lalu di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin kerana ia mudah, cepat dan mesra pembayar zakat.

“Kadang-kadang kita sibuk, tak ada masa untuk membayar di kaunter, jadi kaunter lalu ini memang bagus hanya berurusan di tingkap kereta dan ada jarak sosial,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here