Kelantan laksana PKPB esok, operasi premis makanan 3 petang-6.30 petang

0
169

KOTA BHARU- Kelantan akan mula melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula esok.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) Khas hari ini.

Bagaimanapun katanya, premis makanan hanya dibenarkan beroperasi bermula pukul 3 petang sehingga 6.30 petang sahaja.

“Hari ini kita memutuskan akan melaksanakan PKPB mulai esok sebagaimana yang dikeluarkan Kerajaan Pusat. Kita terima hasrat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk melihat pemulihan sektor ekonomi.

“Ada perkara sama dengan Kerajaan Pusat dan ada perkara berbeza. Sebagai contoh restoran, medan selera, pusat penjaja dan gerai di tepi jalan yang berbumbung hanya dibenarkan beroperasi bermula pukul 3 petang sehingga 6.30 petang.

“Premis makanan hanya dibenarkan bungkus sahaja. Untuk Ramadan, semua premis perniagaan (bukan makanan) dibenarkan beroperasi sehingga pukul 7 malam sahaja,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian hari ini.

Ahmad berkata, tempoh premis dibenarkan beroperasi sehingga pukul 7 malam hanya berkuat kuasa sepanjang Ramadan, namun selepas ini ia boleh beroperasi sehingga pukul 10 malam.

“Justeru, saya menasihatkan rakyat di negeri ini supaya mematuhi syarat yang ditetapkan selain sentiasa menjaga jarak sosial. Kita bimbang jika tidak dipatuhi, wabak ini kembali menyerang.

“Kita juga berterima kasih kepada barisan hadapan yang bertungkus lumus bekerja sehingga Kelantan kini zon hijau ,” katanya.

Pada masa sama, Ahmad berkata, sektor awam di negeri itu mula beroperasi pada Jumaat ini.

“Manakala, bagi solat berjemaah di masjid dan surau, kita masih mengekalkan peraturan lama iaitu hanya empat orang sahaja,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here