Kementerian Pendidikan rangka SOP sebelum sekolah dibuka semula

0
275

CYBERJAYA – Satu prosedur operasi standard (SOP) sedang dirangka Kementerian Pendidikan (KPM) bagi sesi persekolahan negara pada pasca Covid-19 apabila ia dibuka semula nanti.

Menteri Kanan (Pendidikan), Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin berkata, penekanan dalam SOP berkenaan akan memberi tumpuan terhadap perubahan kepada sesi pengajaran dan pembelajaran terhadap 5.4 juta pelajar di seluruh negara.

Beliau berkata, cabaran besar yang dihadapi kementerian itu adalah memastikan pelajar mematuhi SOP ditetapkan supaya kesihatan dan keselamatan tidak terjejas di sekolah.

“Jika dulu sebuah kelas boleh memuatkan sehingga 35 pelajar namun selepas ini jumlah itu akan dikurangkan kepada 16 hingga 17 orang bagi menjaga penjarakan sosial.

“Ini adalah cabaran KPM bagaimana untuk menempatkan pelajar ini agar sesi pembelajaran dapat dilaksanakan tetapi dalam masa sama SOP yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dipatuhi,” katanya.

Mohd. Radzi berkata demikian dalam program Soal Rakyat Wawancara Khas Bersama Menteri Kanan Pendidikan terbitan TV3 seperti dipetik portal Harian Metro, semalam.

Beliau menambah, guru juga perlu bersedia memastikan pelajar terus bermotivasi selepas tidak hadir ke sekolah lebih dua bulan lalu kerana pandemik Covid-19.

Kata beliau, peranan guru juga akan berbeza kerana perlu memastikan SOP ditetapkan dipatuhi pelajar apabila sekolah dibuka nanti.

“KPM akan membenarkan pelajar kelas peperiksaan Tingkatan Lima dan Enam untuk hadir ke sekolah terlebih dulu untuk memantau tahap kepatuhan serta keberkesanan SOP yang ditetapkan.

“Kementerian juga akan pastikan penerokaan ilmu itu akan terus berjalan dengan lancar walaupun dalam suasana pembelajaran yang berbeza,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here