
Oleh NURUL FIRDAUS KHAIRI
CYBERJAYA -Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata,
Kementerian Pengangkutan bakal membentangkan cadangan menangani isu kenaikan tambang pengangkutan awam susulan pengurangan separuh kapasiti penumpang seperti yang ditetapkan oleh kerajaan.
Menurutnya, cadangan itu akan dibentangkan oleh menteri terlibat pada mesyuarat jawatankuasa khas menteri dalam masa terdekat ini.
“Ada rungutan daripada pengusaha kenderaan awam kerana mereka terpaksa mengurangkan separuh daripada kapasiti penumpang sebenar dan ini menyebabkan berlakunya kenaikan harga tambang.
“Malah pengangkutan udara juga yang kita difahamkan tambang ke London untuk kelas ekonomi mencecah RM8,000 walaupun sebelum ini (harga tambang) kurang daripada itu,” katanya dalam sidang akhbar harian hari ini.
Ismail Sabri berkata, Kementerian Pengangkutan akan melihat perkara itu supaya tidak ada kerugian daripada pengusaha pengangkutan awam.
Katanya, kementerian juga akan membentangkan cadangan mereka pada mesyuarat itu nanti.