“Kenapa ALLAH buat Babah sakit..?”

0
5184

Oleh SITI AZIELAH WAHI

CYBERJAYA – “Kenapa Allah buat Babah sakit, kalau Babah tak sakit kan senang Awfiyah nak sentuh Babah”..

Luahan anak kecil berusia empat tahun, Awfiyah Nur Umairah Azlan, apabil dimarahi kerana menerpa ke arah bapanya untuk bermain dan bermanja benar-benar meruntun jiwa seorang ibu gigih bernama Norhaspida Yatim.

“Sayu hati ini.. dalam banyak-banyak hal saya boleh terima tapi bila saya dengar sendiri anak kecil saya sebut macam tu selepas dimarah hati saya rasa sayu sangat, ” katanya.

Norhaspida, 34, merupakan wartawan Sinar Harian di Kuala Terengganu dan suaminya Azlan Bahrum, 36, bekas jurufoto Utusan Malaysia berkahwin lapan tahun lalu dan dikurniakan tiga orang cahaya mata yang kini masing-masing berusia 4, 6, dan 7 tahun.

Sejak dilahirkan, anak kecil yang tidak tahu apa-apa itu, kurang mendapat perhatian dan kasih sayang seorang ayah akibat kekangan kesihatan yang dialami ayahnya sejak bertahun-tahun lamanya.

” Kalau boleh bayangkan, suami tak berapa boleh pegang anak kecil apatah lagi dukung, takut terlepas anak. Maka tiga-tiga anak, saya yang uruskan seorang diri.

Sejak mereka bayi hingga jadi kanak-kanak, boleh kira dengan jari je la dia mandikan anak, pakaikan baju, “katanya.

Namun katanya, beliau kagum dengan usaha yang dilakukan suaminya yang sedaya upaya cuba membantu meringankan beban isteri.

” Dalam keadaan sakit dia cuba sedaya mungkin untuk tolong saya, itu sikap yang ada pada dia, yang saya tak boleh lupa.

Bayangkan, dulu-dulu waktu anak-anak masih kecil, saya pula sedang sakit besalin, kalau dia sakit juga waktu tu saya tiada tempat nak bergantung, walaupun dalam keadaan sakit saya terpaksa sihat demi anak-anak, “katanya.

Azlan seorang penghidap gout sejak berusia 19 tahun lagi, dan kini pada usia 35 tahun sakitnya semakin serius.

Kedua-dua belah tangannya sudah tidak berfungsi, tak boleh buat kerja kerana mengerekot terutama tangan sebelah kiri.

Menurut Norhaspida, anak sulung mereka Muhammad Aqif Rayyan, 7, dan anak kedua, Awatif Nur Adawiyah, 6, sudah arif tentang sakit yang di tanggung bapanya.

“Mereka dah faham walaupun sering juga bertanya kenapa ayah mereka tak sama dengan ayah orang lain, boleh bawak jalan-jalan, boleh bermain bersama-sama,” katanya.

Norhaspida berkata, walaupun perlu kuat untuk menghadapi ujian, dan melatih dirinya untuk susah menangis, namun apabila terkenangkan soalan-soalan yang keluar dari mulut anak-anak membuatkan air matanya mengalir laju.

” Bertahan. Ya. Saya boleh bertahan. InsahaaAllah. Sampai bila..? sampai anak-anak besar dan dah boleh menilai sesuatu,” katanya.

Menceritakan mengenai perkahwinan mereka, Norhaspida berkata mereka bertemu jodoh pada 2012, selepas mengenali dan berkawan sebagai rakan media.

” Waktu tu dia ada juga sakit tetapi saya tak menjangka seteruk ini. Saya pasrah dengan ketentuan ni, saya menerima ujian dan takdir ini walaupun awal-awal dulu hati ni sering memberontak,” katanya.

Menurutnya sejak berkahwin lapan tahun lalu hingga sekarang, tiada hari yang suaminya tidak sakit, cuma yang membezakan antara teruk dengan tidak teruk sahaja.

” Ada hari sakit sikit, ada hari sakit banyak (gout attack). Ada hari jem satu badan, waktu itu makan bersuap, kencing bertadah, macam yang berlaku sekarang ni,”katanya kepada MBNews.

Sementara itu, ibarat sudah jatuh ditimpa tangga apabila doktor baru-baru ini mendiagnos Azlan sebagai pesakit gout kronik, dan mempunyai masalah buah pinggang tahap 3 ke tahap 4.

” Untuk perkembangan terbaharu ni, dia tak boleh bangun dan berjalan seperti biasa sejak 10 hari lalu ketika kena tahan di wad.

Sebelum ni saya pernah juga berdepan beberapa episod sakit dia yang teruk, ada sampai terlantar dua bulan di rumah. Waktu itu anak-anak kecil lagi, sebab healing crisis setiap kali mencuba ubat untuk sembuhkan penyakitnya.

Selama ni dia bergantung dengan ubat tahan sakit, mungkin sebab itu jugalah buah pinggang rosak, “katanya.

Menurut Norhaspida, tahap kesihatan suaminya itu semakin merudum sejak Utusan Malaysia menutup operasinya pada September 2019.

” Waktu tu dia down terus, sekali dengan penyakit dia menyerang..sampailah sekarang.

Selama ini setiap kali bekerja, untuk cepat baik, hampir setiap hari dia perlu telan ubat tahan sakit.

Kesannya sekarang buah pinggang sudah tak boleh terima lagi, doktor juga dah tak bagi dia makan ubat tahan sakit lagi,” ujarnya.

Menurut Norhaspida lagi, pelbagai jenis ubat telah dicuba suaminya untuk sembuh, malah hampir kesemua yang disebutkan untuk masalah gout telah dicuba namun setakat ini tiada yang berhasil.

” Ada sesetengah ubat memberikan kesan pemulihan yang dia sendiri tak boleh nak hadapi,”katanya.

Jelas Norhaspida, masalah gout kali ini terjadi kerana Azlan tidak boleh makan ubat hospital jenis Allopurinol, yang kebanyakan pesakit gout lain boleh makan.

” Bukan tak cuba makan tapi akan naik gatal-gatal pada badannya jadi dia berhenti makan ubat itu. Ubat itu juga akan mencairkan tophy (kristal gout) yang akan timbul pada sendinya, yang akan menyebabkan bahagian yang keluar cecair itu sakit,” jelasnya.

Norhaspida berasal dari Pahang dan Azlan pula dari Perak mula menetap di Kuala Terengganu sejak lapan tahun lalu.

Menurutnya agak sukar dalam dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini untuk ibu bapa Azlan datang melawat anaknya yang tidak sihat dari Perak Ke Kuala Terengganu kerana tempoh masa terhad yang diberikan polis.

Bagaimanapun Norhaspida sangat bersyukur dan terharu dengan bantuan dan kerjasama yang diberikan rakan-rakan media di Kuala Terengganu yang begitu banyak menghulur bantuan kepada mereka.

” Mujurlah ada kawan-kawan media lelaki yang tolong angkat dia (suami), untuk mandikan, cuci najis ketika berada di Hospital baru-baru ini.

” Rasa bersyukur sangat-sangat mereka banyak menolong. Kalau saya sorang dengan badan yang kecil ni memang tak boleh nak uruskan dia seorang diri,” katanya.

Norhaspida berkata, sebelum ini dia sudah puas menangis sampai kering air mata, namun hidup masih perlu diteruskan.

” Setiap perkahwinan memang kita mahukan yang terbaik, kita mahukan bapa kepada anak-anak yang boleh membimbing, tapi dalam hal ini ALLAH telah aturkan, sayalah ibu, sayalah ayah,” katanya. – MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here