Oleh SITI AZIELAH WAHI
CYBERJAYA – Bermula esok kenderaan persendirian dibenarkan membawa penumpang mengikut kapasiti kenderaan masing-masing.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kebenaran itu adalah dikawal selia di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).
“Kerajaan telah mewartakan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No. 6) (Pindaan) 2020,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-Menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hari ini.
Bagaimanapun Ismail Sabri berkata, penumpang mestilah orang yang tinggal serumah dengan pemandu.
Pada masa sama Ismail Sabri memaklumkan, polis telah mengenakan 153 Sekatan Jalan Raya (SJR) Rentas sempadan negeri di seluruh negara dan memeriksa 102,852 kenderaan.
“Sebanyak 738 kenderaan yang cuba merentas negeri atas alasan mahu pulang ke kampung telah diarah berpatah balik oleh polis berbanding 1,243 pada hari sebelumnya,” katanya .
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, Selangor mencatatkan cubaan rentas negeri untuk pulang ke kampung tertinggi iaitu 317 kenderaan diikuti Melaka sebanyak 89 kenderaan dan dan Kedah 80 kenderaan.-MBNews