Keputusan tutup pusat beli belah bergantung nasihat KKM

0
147

Oleh NINA FARZUIN MD SHAROM

CYBERJAYA – Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan sama ada sebuah pusat beli-belah di Cheras yang ditutup atau tidak bergantung kepada nasihat Kementerian Kesihatan (KKM).

“Jika KKM berpendapat ia perlu ditutup, maka tindakan itu akan diambil,” jelasnya pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Semalam, KKM telah mengesan satu lagi kluster baharu melibatkan pengawal dan anggota keselamatan di sebuah pusat beli-belah di Cheras, Kuala Lumpur.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ia melibatkan 10 kes positif Covid-19 iaitu sembilan warganegara Nepal dan seorang rakyat tempatan.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan telah memutuskan bahawa semua pengawal keselamatan warga asing diwajibkan untuk menjalani saringan Covid-19.

“Oleh kerana pengawal keselamatan ini mempunyai kontak yang begitu ramai terutama bagi berkhidmat di pusat beli belah. Mereka inilah yang akan memeriksa suhu badan pengunjung dan sebagainya, jadi sudah tentu melibatkan kontak yang banyak dengan orang ramai.

“Lebih rumit apabila orang ramai yang masuk ke pusat beli belah tidak didaftarkan dan sukar untuk membuat pengesanan.

“Oleh itu, kerajaan juga telah memutuskan bahawa semua pengawal keselamatan warga asing diwajibkan untuk membuat saringan Covid-19 dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengeluarkan arahan tersebut,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here