
Oleh NURUL FIRDAUS KHAIRI
CYBERJAYA – Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan membenarkan bas sekolah digunakan untuk menghantar pekerja kilang sepanjang penutupan sesi persekolahan akibat Covid-19.
Menurutnya, Kementerian Pengangkutan telah membuat keputusan supaya pengusaha bas kilang boleh menggunakan bas sekolah untuk menghantar pekerja kilang sepanjang tempoh sekolah ditutup
“Kebenaran itu antara usaha membantu pengusaha bas yang terkesan akibat penularan wabak terbabit.
“Kita faham pengusaha bas sekolah mengalami kerugian kerana mereka tidak ada pendapatan disebabkan perkhidmatan terpaksa dihentikan buat sementara waktu,” katanya dalam sidang akhbar harian hari ini.
Ismail Sabri berkata, kementerian itu (Kementerian Pengangkutan) membuat keputusan supaya pengusaha bas kilang menggunakan bas sekolah bagi melancarkan urusan penghantaran pekerja kikang.
Katanya, tindakan itu adalah usaha yang dilakukan oleh kerajaan bagi membantu pengusaha-pengusaha bas sekolah.
“Mungkin mereka boleh berbincang dengan syarikat-syarikat tertentu untuk mereka membantu membawa pekerja kilang sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai ibu bapa yang masih diminta membayar caj perkhidmatan bas sekolah walaupun tidak menggunakan perkhidmtan itu dalam tempoh PKP, Ismail Sabri menegaskan ia tidak sepatutnya berlaku.