Kerajaan bersedia hadapi peningkatan Covid-19

0
75

Oleh NINA FARZUIN MD SHAROM

CYBERJAYA – Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan sentiasa bersedia sekiranya terdapat peningkatan mendadak kes Covid-19.

“Jika ada kenaikan mendadak, kita akan membuat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara pentadbiran dahulu sebelum Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) dilaksanakan seperti yang kita lakukan di Chow Kit.

“Sekarang sasaran kita berdasarkan lokaliti dan keduanya adalah kluster contohnya pekerja warga asing atau sebagainya,” katanya pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Jelasnya, kerajaan akan sentiasa memantau perkembangan dari segi jumlah positif Covid-19 setiap hari di mana-mana kawasan sekali pun.

“Tumpuan kita adalah kawasan bersasar contohnya kalau kita lihat dari dulu pun Petaling memang dianggap sebagai kawasan merah kerana terdapat dua kawasan menjadikan kawasan ini sebagai zon merah iaitu Seri Petaling dan Lembah Pantai.

“Sebab itu kawasan ini dianggap merah tapi tumpuan kita bukan seperti sebelum ini iaitu seluruh Petaling tapi di kawasan yang telah kita telah kenal pasti,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here