Kerajaan mahu bendung kluster baharu Covid-19 pekerja asing

0
270

CYBERJAYA – Keputusan kerajaan mewajibkan pelaksanaan ujian saringan Covid-19 kepada pekerja asing di semua sektor adalah bagi membendung kluster baharu dalam golongan itu.

Sehubungan itu, Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) perlu faham tujuan mengapa ujian saringan berkenaan perlu dipatuhi.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia berikutan berlaku peningkatan tinggi selama dua hari berturut-turut kluster pekerja asing di tapak pembinaan.

Katanya, tindakan itu juga adalah untuk mencegah perkara yang berlaku di Singapura tidak berulang di negara ini.

“Selama ini, Singapura agak mendatar daripada segi kes positif mereka tetapi kerana adanya kluster warga asing, akhirnya graf kenaikan Covid-19 mendadak tinggi.

“Saya harap MEF perlu faham bahawa apa yang dilakukan kerajaan adalah untuk menjaga kepentingan seluruh rakyat di negara ini,” katanya ketika sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Ismail berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan MEF mempersoalkan keputusan kerajaan itu berikutan pihak majikan terpaksa menanggung kos mencecah RM1.15 bilion.

MEF dalam kenyataannya turut menyarankan kerajaan supaya lebih mengutamakan pelaksanaan saringan Covid-19 kepada pekerja asing tanpa izin dan bukannya semua warga asing.

Ismail berkata, tindakan ujian saringan itu adalah jauh lebih baik daripada kerajaan mengenakan tindakan yang sepatutnya misalnya menutup premis perniagaan atau kilang tempat kerja warga asing.

Oleh itu, katanya, pengasingan pekerja antara yang sihat dengan positif perlu dilakukan.

Katanya, ujian saringan itu akan dimulakan dengan sektor pembinaan sebelum disusuli sektor lain. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here