CYBERJAYA – Negara kehilangan seorang anggota polis ketika menjalankan tanggungjawab Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam bulan Ramadan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan merakamkan takziah kepada keluarga Allahyarham Koperal Safwan Mohammad Ismail yang terkorban di Sekatan Jalan Raya di Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuh Raya Kajang-Seremban (Lekas) awal pagi tadi.

“Sesungguhnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan negara telah kehilangan seorang anggota yang telah berkorban untuk negara ketika bertugas melaksanakan tanggungjawab PKP dalam bulan Ramadan,” katanya dalam sidang akhbar sambil mengajak wartawan membaca surah al-fatihah bagi umat Islam dan bertakafur bagi bukan Islam kepada Allahyarham Safwan.

Dalam kejadian awal pagi tadi, Allahyarham Safwan yang bertugas di Sekatan Jalan Raya Plaza Tol Kajang Selatan Lebuh Raya Lekas maut selepas cedera di kepala dan badan akibat dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Dalam kejadian itu, pemandu terbabit dipercayai mabuk mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Serdang untuk rawatan.

Sementara itu Ismail Sabri berkata, PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengadakan sebanyak 823 Sekatan Jalan Raya dan melakukan pemeriksaan ke atas 552,999 kenderaan di seluruh negara, semalam.

Beliau berkata, sebanyak 36,345 pemeriksaan mengejut diadakan di seluruh negara dengan 5,833 premis diperiksa oleh pihak berkuasa.

“PDRM telah menangkap 414 individu berbanding 410 individu sebelum ini kerana ingkar PKP, merangkumi 407 individu yang direman dan tujuh individu dijamin polis.

“Jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP sehingga semalam adalah sebanyak 23,680 individu,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here