Kes Covid-19 kembali melonjak, majoriti libatkan warga asing

0
95
Dr. Noor Hisham

CYBERJAYA – Selepas dua hari mencatat kes yang rendah, hari ini kes baharu jangkitan Covid-19 di seluruh negara kembali meningkat kepada tiga digit.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, setakat tengah hari tadi sebanyak 103 kes baharu dilaporkan.

Beliau berkata, pertambahan kes baharu itu menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 7,732 kes manakala jumlah kes aktif adalah 1,382 kes.

“Lonjakan kes baharu dilaporkan pada hari ini adalah disebabkan oleh kes di kalangan bukan warganegara.

“Daripada 103 kes baharu yang dilaporkan, tujuh kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara dan daripada 96 kes penularan tempatan, 84 kes adalah kes bukan warganegara Malaysia di mana 53 kes dikesan daripada kluster Pedas dan 24 kes daripada kluster syarikat pembersihan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Dr. Noor Hisham berkata, kes penularan tempatan di kalangan rakyat tempatan hanya 12 kes sahaja.

Dalam pada itu, katanya, sehingga kini, seramai lapan kes positif Covid-19 sedang diirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan daripada jumlah tersebut dua kes memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, Dr. Noor Hisham turut memaklumkan bahawa tiada kes kematian dilaporkan pada hari ini manakala jumlah yang dibenarkan keluar hospital ialah sebanyak 66 orang.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here