Kes positif Covid-19 melalui SARI semakin menurun

0
119
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

Oleh SITI KHAIRULNISAH MOHAMMED BAJURI

CYBERJAYA – Aktiviti survelan atau pemantauan yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus dipergiat walaupun terdapat penurunan kes positif wabak Covid-19 yang dikesan melalui Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) atau Influenza Like Illness (ILI).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, langkah itu akan diteruskan untuk mencapai objektif sebagai sistem amaran awal dan pengesanan awal bagi jangkitan wabak itu di negara ini.

Menurutnya, setakat minggu epid ke-18, sebanyak 9,010 sampel telah diambil dan daripada jumlah itu, 81 sampel atau 0.9 peratus disahkan positif wabak tersebut.

“Meskipun begitu, kadar positif yang dikesan melalui aktiviti survelan adalah menurun dan kekal rendah buat masa ini. Namun begitu, pihak KKM menyeru supaya masyarakat tidak leka dengan tren penurunan ini.

“Sekali lagi, KKM ingin menekankan bahawa kepatuhan orang ramai kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) serta kelaziman dan norma baharu adalah amat penting dalam menentukan kadar kes positif Covid-19 di Malaysia,” katanya pada sidang akhbar, petang tadi.

Dr. Noor Hisham berkata, KKM juga menjalankan analisa survelan pasif yang merangkumi notifikasi yang diterima Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) bagi kes-kes yang telah dikesan sebagai pesakit di bawah pemantauan (PUI) daripada fasiliti KKM dan swasta. – MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here