Kisah polis bantu penunggang motosikal undang sebak

0
432
Anggota polis mengutip limau nipis yang berteraburan di jalan raya di Pahang. – Gambar Facebook JSJ KONTINJEN PAHANG

CYBERJAYA – Bertugas sebagai petugas barisan hadapan sudah tentunya melalui pelbagai pengalaman dalam melihat masyarakat patuh pada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi mengekang penularan Covid-19 di negara ini.

Kisah yang dikongsi akaun Facebook Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Pahang membuatkan ramai warga maya sebak dan kagum dengan keprihatinan anggota polis semasa melaksanakan OpCovid19 di negeri itu.

Menurut hantaran tersebut, semasa menjalankan operasi itu, pasukan pemantau JSJ Ibu pejabat Polis Kontinjen Pahang terserempak dengan seorang penunggang motosikal berpatah balik di sebatang jalan raya.

“Rupa-rupanya insan tersebut tergesa-gesa mengutip limau nipis yang dibawanya bertaburan atas jalan raya. Ada yang dilenyek oleh kenderaan lalu lalang di situ.

“Bukan hanya simpati namun empati terhadap beliau. Pasukan yang berada di lokasi dengan spontan membantu mengutip limau nipis tersebut,” kata kenyataan itu yang dimuatnaik malam tadi dan mendapat lebih 14,000 tanda suka dan 2,400 berkongsi hantaran itu.

Tambah kenyataan itu, penunggang motosikal itu risau jika gajinya dipotong akibat kerugian limau nipis yang bertaburan di jalan raya.

“Limau nipis tersebut bernilai RM3 sekilogram dan 20 kilogram semuanya yang ada dalam guni tersebut.

“Kejadian tersebut menginsafi diri, kadangkala kita leka, ada insan masing-masing dengan usaha, cara, kesusahan dalam mencari rezeki. Semoga rezekinya diperluaskan,” katanya.

Warga maya turut meninggalkan komen dalam hantaran tersebut dengan disifatkan satu tindakan mulia dalam membantu mereka yang alami kesusahan.

Seorang pemilik akaun Facebook dikenali Sapira Che Soh berkata, dia terharu membaca status tersebut dan memuji tindakan anggota polis berkenaan.

“Ya Allah..terharunya..demi mencari rezeki halal. Semoga dimurahkan rezeki hamba Allah ini. Terbaik anggota PDRM,” katanya.

Bagi Nik Man pula, ketika dia membaca pada awalnya ada pihak yang meletakkan paku dalam limau nipis.

“Nasib baik baca sampai habis. Ingatkan ada leetak paku dalam limau nipis. Terbaik anggota IPK Pahang semoga dipermudahkan urusan insan itu,” katanya. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here