‘Kita mungkin perlu hidup bersama Covid-19 dalam tempoh lebih lama’

0
288
JOMO KWAME SUNDARAM

SEMUA maklum sehingga kini masih belum nampak ke mana pengakhirannya dalam kita menangani wabak covid -19 yang masih mengganggu proses kehidupan seharian kita semua.

Malah seluruh dunia juga berkongsi masalah sama, masih belum nampak sebarang tanda akhirnya. Apatah lagi kita berperang dengan sebuah ancaman yang terhijab dari pandangan mata kasar.

Hakikatnya virus ini masih segar berlegar dan hidup di pelbagai permukaan, menanti masa perumah baharu untuk menyentuhnya lalu membuka peluang untuk terus wujud tanpa terlihat dan menjangkiti lebih ramai manusia.

Analogi peperangan ini boleh difahami dalam pelbagai konteks namun yang paling jelas kini adalah dalam konteks ekonomi. Baik secara jangka pendek mahupun panjang, realiti yang harus kita telan ialah Covid-19 memberi impak yang besar kepada ekonomi kita.

Perkara ini yang dibincangkan secara panjang lebar dalam Siri Wacana Masa Depan bertajuk Pemulihan Ekonomi Pasca-Covid-19 yang berlangsung secara dalam talian dan disiarkan secara langsung dalam laman Facebook Institut Masa Depan Malaysia baru-baru ini.

Wacana yang dikendalikan moderator Sayed Munawar itu menampilkan dua panel, iaitu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Masa Depan Malaysia, Mohd. Nizam Mahshar dan pakar ekonomi, Prof. Dr. Jomo Kwame Sundaram.

MOHD. NIZAM

Pelbagai perspektif pemulihan ekonomi dibincangkan selama dua jam wacana tersebut bersiaran dan ia berjaya menarik lebih 5,000 tontonan setakat hari ini.

Antara perkara penting disampaikan Mohd. Nizam adalah bagaimana proses pemulihan selepas reda impak wabak Covid-19 ini bukan sekadar untuk menjalankan semula ekonomi.

Sebaliknya kata Mohd. Nizam, untuk menyusun semula keutamaan ekonomi negara supaya ia lebih mampu beradaptasi dengan keperluan ekonomi masa hadapan dan lebih bersifat kalis krisis.

Mengambil Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) sebagai kerangka yang perlu diguna pakai dalam pertimbangan proses pemulihan kelak, beliau melihat krisis yang berlaku kini adalah peluang terbaik untuk kita merealisasikan hasrat yang terkandung dalam wawasan tersebut.

Mahu tidak mahu, kita perlu akui kewujudan beberapa masalah dalam ekosistem ekonomi negara ini yang memerlukan pembetulan. Antaranya adalah penggunaan teknologi tinggi yang semakin merosot dalam perniagaan dan kebergantungan yang tinggi kepada pekerja berkemahiran rendah.

Bukan sahaja kedua-dua perkara ini menyebabkan ekonomi kita menjadi rapuh apabila dihadapkan dengan kemungkinan-kemungkinan masa hadapan, malah ia menjejaskan keseluruhan ekosistem ekonomi apabila tiba waktu krisis.

Kedua-dua perkara ini menyebabkan tenaga kerja di negara ini menerima upah yang rendah dan menggalakkan kemasukan pekerja asing. Reformasi perlu dilakukan.

Oleh sebab itu, proses pemulihan ekonomi pasca krisis kelak bukan sekadar untuk mengembalikan amalan ekonomi yang lampau sebaliknya ia satu permulaan untuk penstrukturan semula ekonomi secara besar-besaran.

Mohd. Nizam turut membangkitkan implikasi krisis yang berlaku kini kepada dua golongan yang paling terkesan teruk, iaitu golongan rentan ekonomi (berpendapatan rendah) dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Bagi golongan rentan ekonomi yang pendapatannya sangat bergantung kepada gaji, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyukarkan kehidupan apabila ada antara mereka kehilangan mata pencarian dalam tempoh ini. Ia ditambah dengan lanjutan PKP yang kini sudah memasuki fasa kelima.

Bagi PKS pula, waktu ini adalah waktu yang mencabar bagi perniagaan mereka, terutamanya bagi PKS kecil, mikro mahupun nano yang tidak punya modal besar untuk bertahan. Implikasi kepada PKS telah cuba untuk diserap kerajaan melalui Pakej Prihatin Nasional yang ketiga, namun adakah ia mencukupi?

Disebabkan kedua-dua golongan ini – PKS dan rentan ekonomi – meliputi jumlah yang sangat besar, implikasi kepada mereka akan turut memberi kesan kepada ekonomi negara secara keseluruhannya.

Satu lagi perkara yang menjadi perhatian Mohd. Nizam adalah tentang keterjaminan pengeluaran-pengeluaran utama negara, terutamanya dalam sektor makanan dan kesihatan.

Dalam isu keterjaminan makanan contohnya, kebergantungan kita kepada makanan import termasuk untuk makanan ruji iaitu beras adalah membimbangkan.

Sehingga kini, kerajaan masih gagal untuk meletakkan sasaran 100 peratus self-sufficient level (SSL) sekurang-kurangnya untuk beras.
Seperti apa yang berlaku baru-baru ini, jika ada mana-mana negara mengehadkan eksport beras mereka ketika berlaku krisis, ia pasti menjejaskan keterjaminan makanan negara.

Begitu juga dalam sektor kesihatan. Walaupun dari segi perkhidmatan kesihatan Malaysia adalah antara yang terbaik dalam dunia, dari segi pembuatan kita masih bermasalah. Kita masih bergantung kepada negara luar untuk produk kesihatan.

Jika ulasan Mohd. Nizam lebih tertumpu kepada ekosistem ekonomi, Jomo menekankan keberkesanan kerajaan dalam menghadapi wabak.

Melihat koordinasi yang agak longgar dalam kalangan pemimpin kerajaan, Jomo mengutarakan keperluan untuk sebuah pendekatan yang melibatkan keseluruhan kerajaan dan masyarakat.

Dalam hal ini, beliau menekankan kepentingan untuk semua anggota kerajaan bekerjasama secara optimum dalam mengendalikan wabak dan memulihkan negara selepas wabak.

Malah lebih penting lagi, bagaimana kerajaan menuai kerjasama daripada rakyat supaya usaha pemulihan dapat dijalankan dengan lebih baik.

Kita perlu terima realiti bahawa kita mungkin akan hidup bersama ancaman wabak ini dalam tempoh setahun atau lebih, maka menurut beliau, rakyat perlu difahamkan sepenuhnya tentang sifat Covid-19 ini dan bagaimana cara terbaik untuk hidup bersamanya.

Dalam hal ini, pendekatan bersifat arahan daripada kerajaan tanpa rasa empati yang mendalam tidak akan dapat memahamkan rakyat.

Beliau tekankan, kita perlu ubah kebiasaan hidup. Kita perlu sedar bahawa penjagaan jarak sosial akan menjadi sebahagian daripada kehidupan kita sekarang.

Ini kerana di beberapa negara yang sebelum ini sudah mengisytiharkan bebas daripada Covid-19 kini sedang bersedia untuk menerima gelombang yang kedua. Begitu juga, kita tidak akan dapat pastikan bahawa tidak ada wabak lain pula yang akan menyerang di kemudian hari.

Malah, penemuan vaksin suatu hari nanti juga belum menjamin kita akan bebas daripada wabak ini buat selama-lamanya kerana akses terhadap vaksin tersebut belum dapat dipastikan.

Seperkara lagi yang menjadi kerisauan bagi Prof. Jomo adalah kebanjiran pekerja asing dalam negara. Mengikut data, dianggarkan terdapat 6.7 juta pekerja asing di Malaysia dan kira-kira 4.5 juta daripadanya adalah pekerja asing tanpa permit.

Belajar daripada kegagalan Singapura mengawal penularan wabak dalam kalangan pekerja asing mereka, perlu ada sesuatu yang dilakukan kerajaan bagi memastikan golongan ini tidak menjadi kluster penular wabak yang baharu.

Prof. Jomo malah hadir dengan satu cadangan supaya kerajaan menawarkan pemberian permit kerja selama setahun kepada pekerja asing tanpa permit asalkan mereka datang untuk membuat pemeriksaan bagi memastikan mereka tidak membawa wabak dan menyebarkannya kepada orang lain.

Pelbagai usaha boleh dijalankan bagi memastikan Malaysia bukan sahaja berjaya mengharungi tempoh sukar ini dengan jaya, malah tampil lebih kuat selepas tamat krisis ini kelak.

Namun yang pasti, ia memerlukan kerjasama semua pihak, baik di peringkat kerajaan mahupun rakyat. Ketika ini, perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia sangat diperlukan kerana hanya dengan penyatuan, kita dapat mengharungi badai besar ini dengan cemerlang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here