KKM teliti garis panduan imarahkan semula masjid, surau

0
101
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri (tengah) mengadakan pertemuan bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham

CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) sedang meneliti garis panduan bersesuaian bagi pelaksanaan aktiviti keagamaan di masjid dan surau sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan.

Perkara itu disahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam laman Facebook miliknya hari ini.

“Terima kasih kepada Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr. Noor Hisham Abdullah atas kesudian untuk meneliti garis panduan bagi pelaksanaan aktiviti keagamaan di masjid dan surau yang akan dibentangkan dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI). ⁣

“Soal bilakah masa yang sesuai untuk pelaksanaannya, kita berpandukan kepada nasihat dan saranan Kementerian Kesihatan selaku pihak yang berkepakaran,” katanya.

Sejak negara menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu, segala aktiviti berkaitan perhimpunan keagamaan tidak dibenarkan.

Namun sejak PKP dilonggarkan pada Isnin lalu, terdapat banyak gesaan daripada orang ramai supaya masjid dan surau dibuka semula dengan mematuhi garis panduan ditetapkan.

Sementara itu, Zulkifli berkata, penutupan rumah ibadah hanya sementara dan bakal dibuka semula nanti.

“Akan tiba masanya satu hari nanti, semua rumah ibadah akan dibuka dan kita kembali mengimarahkannya dengan penuh kegembiraan dan keinsafan,” ujarnya. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here