Kluster baharu di DTI Sepang

0
223
DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

CYBERJAYA – Satu kluster baharu Covid-19 dikesan dengan enam kes di Depoh Tahanan Imigresen (DTI) Sepang di sini menjadikan kluster ketiga melibatkan DTI, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah hari ini.

Dalam kenyataannya seperti dipetik agensi berita Bernama, beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan kewujudan satu kluster membabitkan warga asing di DTI Semenyih dengan 21 daripada 1,752 sampel yang diambil disahkan positif Covid-19.

Terdahulu 60 kes Covid-19 dikesan di DTI Bukit Jalil.

Sebelum ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, KKM dalam proses mengambil sampel pendatang tanpa izin di DTI Bukit Jalil dan Semenyih melibatkan 3,000 individu yang turut merangkumi petugas dua depoh tersebut.

Katanya, mereka yang didapati positif akan dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Risiko Rendah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS). 

Terdahulu, laporan harian berkaitan wabak tersebut hari ini mendapati 60 kes baharu positif Covid-19 dicatatkan menjadikan jumlah kumulatif keseluruhan adalah 7,245 kes.

Daripada 60 kes baharu itu, tujuh kes import dicatatkan hari ini manakala jumlah kes aktif pula sebanyak 1,185 kes.

Jumlah kes sembuh turut mencatatkan 33 kes dengan jumlah kumulatif sebanyak 5,945 kes manakala tiada rekod kematian dicatatkan menyaksikan jumlah keseluruhan kekal 115.

Bagi pesakit Covid-19 yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), kenyataan itu berkata, seramai sembilan orang menerima rawatan di situ dengan empat daripadanya menggunakan alat bantuan pernafasan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here