Kluster baharu ditemui di Setia Alam

0
167

Oleh NINA FARZUIN MD SHAROM

CYBERJAYA – Satu lagi kluster baharu kes positif Covid-19 dilaporkan di Setia Alam melibatkan warga pekerja asing.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kluster tersebut dikesan pada 6 Mei lalu menerusi notifikasi dari sebuah hospital swasta.

“Hospital tersebut telah menjalankan saringan Covid-19 ke atas pekerja-pekerja yang bakal kembali bertugas dan mendapati tiga daripada lima pekerja yang disaring disahkan positif.

“Ketiga-tiga kes positif tersebut merupakan warga Bangladesh yang berkongsi tempat kediaman sama dengan 18 orang lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, siasatan dan saringan bagi kontak rapat ketiga-tiga kes tersebut juga telah dijalankan.

“Sehingga pukul 12 tengah hari tadi, seramai 28 orang telah disaring dan daripada jumlah keseluruhan itu, 12 kes didapati positif di mana kesemua kes ini adalah merupakan warganegara Bangladesh.

“Sembilan kes pula didapati negatif dan tujuh kes masih menunggu keputusan. Punca jangkitan masih kluster ini juga masih di dalam siasatan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here