Kluster Pedas: 786 pekerja kilang disaring

0
341
Gambar hiasan

Oleh NURUL FIRDAUS KHAIRI

CYBERJAYA – Seramai 786 individu yang merupakan pekerja dan ahli keluarga di sebuah kilang di Pedas, Negeri Sembilan telah disaring untuk ujian Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, 60 kes didapati positif, 286 kes negatif dan 440
orang masih menunggu keputusan.

Menurutnya, kes-kes positif kluster itu
melibatkan tujuh warganegara Malaysia dan 53 bukan warganegara.

“Bukan warganegara terdiri daripada 25 kes warga Nepal, 18 kes warga Bangladesh dan lapan kes warga Indonesia dan satu kes warga Myanmar.

“Seperti yang dimaklumkan pada 2 Mei lalu, kluster ini mula dikesan apabila seorang kakitangan kilang tersebut didapati tidak sihat dan mula mengalami gejala demam, batuk, selesema, sesak nafas dan sakit kepala pada 5 April lalu,” katanya pada sidang akhbar harian hari ini.

DR. Noor Hisham berkata, pesakit itu telah mendapatkan rawatan di klinik kesihatan dan ujian Covid-19 telah dijalankan pada 10 April lalu.

Jelasnya, pada 12 April lalu, keputusan
ujian pengesanan Covid-19 disahkan positif.

“Susulan itu, siasatan dan saringan bagi kontak rapat kakitangan tersebut telah dijalankan.

“Punca jangkitan bagi kluster ini masih di dalam siasatan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here