Kluster Setia Alam terkawal

0
96
Kluster Setia Alam terkawal

Oleh SITI KHAIRULNISAH MOHAMMED BAJURI

CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan tidak bercadang untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tapak pembinaan di Setia Alam, Selangor, ekoran jumlah kes positif Covid-19 direkodkan masih dalam keadaan terkawal.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, tiada pertambahan kes baharu direkodkan kluster berkenaan menjadikan jumlah kumulatif kes positif masih kekal sebanyak 12 kes membabitkan warga asing.

“Proses pengesanan dan saringan sedang giat dijalankan di lokasi berkenaan. Berdasarkan jumlah kes direkodkan iaitu 12 kes, ia masih dalam keadaan terkawal dan mungkin tidak perlu guna pendekatan PKPD,” katanya pada sidang akhbar, petang tadi.

Dr. Noor Hisham berkata, terdapat faktor yang menyebabkan penularan jangkitan dalam kalangan warga asing iaitu kesesakan di tempat tinggal mereka.

“Sebagai contoh di Selangor Mansion, Malayan Mansion dan Plaza City One, terdapat sehingga 30 individu duduk dalam satu kediaman, manakala hingga 15 orang duduk dalam satu rumah di tapak pembinaan.

“Kesesakan dalam kediaman ini menjadi faktor jangkitan merebak. Apa yang penting, pemantauan berterusan masih dilakukan di Setia Alam sebagai langkah membendung penularan,” katanya. – MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here