
CYBERJAYA – Dalam memastikan rakyat mematuhi prosedur operasi standard (SOP), Kementerian Perpaduan Negara membenarkan jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dalam operasi rondaan terutama di kawasan penempatan mereka.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kementerian itu akan menyediakan SOP kepada KRT terbabit supaya mereka mematuhinya ketika menjalankan tugas.
Tambah beliau, kerajaan bersetuju membenarkan KRT membantu pihak berkuasa dalam membuat pemantauan pematuhan SOP sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“Mesyuarat juga bersetuju dan meminta kementerian berkenaan menyediakan SOP KRT bagi melaksanakan rondaan SRS dalam memastikan ia mematuhi protokol kesihatan.
“Kerajaan juga bersetuju KRT kerana ia melibatkan salah satu program memperkasa komuniti setempat,” katanya dalam sidang akhbar harian di Putrajaya hari ini.
Beliau juga meminta ketua kampung, jawatankuasa masjid dan surau terbabit dalam aktiviti selain mengalu-alukan permohonan KRT berkenaan perkara itu. – MT