LHDNM lakukan semak silang dengan 10 agensi kerajaan

0
448

CYBERJAYA – Kerajaan menerima banyak rungutan terutama melalui media sosial daripada mereka yang ditolak permohonan Bantuan Prihatin Nasional (BPN).

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDNM), Datuk Seri Dr. Sabin Samitah berkata, antara aduan permohonan ditolak adalah daripada pemohon yang telah kehilangan pekerjaan atau mengalami pengurangan pendapatan ketara baru-baru ini.

Menurut beliau, antara sebab utama permohonan ditolak adalah kerana pemohon mempunyai pendapatan yang melebihi syarat BPN. 

“Pelbagai sebab lain termasuk tidak mematuhi syarat tertentu seperti kelayakan umur, status pelajar sepenuh masa dan lain-lain. 

“Contohnya, terdapat 240,465 permohonan diterima daripada pelajar sepenuh masa sedangkan mereka tidak layak mendapat BPN, kerana telah layak mendapat RM200 menerusi bantuan pelajar institusi pengajian tinggi secara one-off,” kata beliau dalam kenyataan sebentar tadi.

Sabin menambah, untuk memastikan hanya mereka yang betul-betul layak sahaja menerima BPN semakan data telah dibuat dengan amat teliti.

Beliau berkata, semakan ini juga bertujuan untuk mengelak sebarang penipuan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Sejumlah 2.3 juta permohonan baharu dan rayuan BPN telah diluluskan dengan implikasi kewangan sebanyak RM1.7 bilion. 

“Kelulusan dibuat berdasarkan semakan silang dengan pangkalan data yang terkini daripada 10 agensi Kerajaan yang berkaitan seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia, LHDNM, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Jabatan Pendaftaran Negara,” jelasnya.

Dalam pada itu beliau memberitahu, berdasarkan pangkalan data Bantuan Sara Hidup (BSH) dan data cukai LHDNM, seramai 8.3 juta penerima telah diluluskan untuk fasa pertama BPN dengan jumlah peruntukan RM9.3 bilion. 

Beliau berkata, sistem BPN telah dibuka untuk tujuan permohonan baharu dan rayuan daripada 1 hingga 30 April lalu bagi mereka yang tiada dalam pangkalan data BSH dan percukaian. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here