Lima lelaki pemegang kad UNHCR terlibat kes pecah rumah ditahan polis

0
389
Asisten Komisioner Noor Azmi

KUALA LUMPUR – Lima lelaki pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) diberkas oleh pihak polis semalam selepas disyaki terbabit dalam jenayah pecah rumah sekitar Ampang Jaya.

Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff, dua daripada suspek yang berumur 26 dan 40 tahun itu ditangkap ketika cuba memecah masuk di sebuah rumah di Taman Seraya, Ampang Jaya, kira-kira pukul 3.30 pagi semalam.

“Pengadu memaklumkan kepada polis, ada kelibat dua lelaki yang dalam keadaan mencurigakan memanjat tiang untuk cuba pecah masuk sebuah rumah kawasan itu.

“Polis yang tiba di tempat kejadian memanjat bumbung rumah berkenaan dan menangkap dua lelaki yang sedang bersembunyi di tepi tangki air atas bumbung,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata, ketika tangkapan dibuat, kedua-dua suspek itu cuba bertindak agresif.

Katanya, turut dirampas ialah dua pemutar skru dan satu pemotong wayar disyaki digunakan untuk jenayah pecah rumah.

Noor Azmi berkata, penahanan dua suspek itu membawa kepada tangkapan tiga lagi lelaki warga asing berumur 21, 38 dan 41 tahun.

“Daripada tiga orang itu, seorang daripadanya ada rekod jenayah pecah rumah. Kita rampas dua pemutar skru dan satu pemotong wayar untuk membantu siasatan kes jenayah sama.

“Dengan penangkapan semua suspek, polis yakin dapat menyelesaikan lima kes kejadian pecah rumah di daerah Ampang Jaya,” katanya.

Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 453 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here