Lokaliti tamat PKPD tetap akan dipantau

0
123
Dr. Noor Hisham Abdullah

CYBERJAYA – Lokaliti dan kawasan yang pernah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan tetap dipantau oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) walaupun perintah itu sudah ditamatkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, berkata, dalam memastikan penularan wabak Covid-19 dibendung sepenuhnya, penamatan PKPD tidak bermaksud tiada lagi pemantauan di lokasi berkenaan.

“Walaupun PKPD ditamatkan, kita masih memantau kawasan terbabit, bukan ketika PKPD sahaja kita pantau.

“Sebaliknya pemantauan dilakukan secara berterusan bagi memastikan penularan Covid-19 dapat dibendung,” katanya pada sidang media harian hari ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam mengumumkan enam lokasi PKPD di seluruh negara ditamatkan iaitu Menara City One, Malayan Mansion, Selangor Mansion, kawasan sekitar Jalan Masjid India, Tahfiz An-Nabawiyyah dan sebuah rumah di Batu 23, Kampung Sungai Lui, Hulu Langat.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, jumlah kes pesakit tidak bergejala (asymptomatic) masih kecil di negara ini.

“Daripada saringan terhadap 5164 pesakit yang tidak mempunyai kontak rapat, tidak mempunyai sejarah perjalanan dan tiada gejala mendapati, hanya lima individu sahaja yang dikesan,” katanya.

Beliau berkata, kes asymptomatic dipercayai berlaku disebabkan kandungan virus Covid-19 yang masih kecil di dalam badan dan tidak menjangkiti orang lain.

“Bila mempunyai gejala, virus dalam badan semakin tinggi dan boleh menjangkiti orang,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here