
CYBERJAYA- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan satu lagi kluster baharu wabak Covid-19 iaitu melibatkan pelajar Maahad Tahfiz Lanchang di Temerloh, Pahang.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kluster berkenaan dikenal pasti selepas enam kes positif dikesan di kawasan maahad tahfiz berkenaan.
“Mereka yang ada kontak rapat dengan enam kes positif ini kita akan jalankan saringan kesihatan. Walaupun madrasah tutup tetapi masih ada yang tinggal dalam kawasan itu.
“Jadi kita akan lihat bagaimana cara untuk kita laksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di madrasah berkenaan seperti di madrasah Kampung Sungai Lui, Selangor,” katanya dalam sidang akhbar di Putrajaya hari ini.
Dalam perkembangan lain, Dr. Noor Hisham berkata, sehingga kini sebanyak 8,030 sampel telah diambil daripada pelajar dan kakitangan madrasah serta tahfiz yang berkaitan dengan perhimpunan di Seri Petaling.
“Hasil pengesanan pelajar dan kakitangan madrasah serta tahfiz yang berkaitan dengan perhimpunan di Seri Petaling, sebanyak 378 kes positif,” katanya.-MT