Macau Scam: Ahli perniagaan diperdaya RM802,800

0
146

SEREMBAN- Taktik panggilan telefon daripada ‘pegawai polis’ terus meragut mangsa apabila seorang ahli perniagaan di daerah ini kerugian RM802,800 selepas dipercayai diperdaya sindiket Macau Scam.

Mangsa wanita berumur 61 tahun itu ketakutan selepas menerima panggilan telefon mendakwa mempunyai satu kes penjualan dadah dan pengubahan wang haram yang boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Ab Ghani berkata, berdasarkan laporan mangsa, kejadian berlaku pada 4 April lalu pada pukul 2.05 petang.

Katanya, mangsa berada di pejabatnya ketika menerima panggilan daripada nombor tidak dikenali yang mendakwa pihak syarikat penghantaran barang.

“Pemanggil mendakwa ada individu menghantar MyKad dan kad kredit pengadu dari Sabah sedangkan pengadu tidak pernah memberi kad berkenaan kepada mana-mana pihak.

“Panggilan kemudian disambung kononnya kepada IPK Sabah dan mangsa bercakap dengan individu mendakwa sebagai ‘Sarjan Yeow Khee Ming’.

“Lelaki itu mendakwa pengadu mempunyai kes penjualan dadah dan pengubahan wang haram dan boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Aibee berkata, ‘Sarjan Yeow’ mengarahkan mangsa membuka akaun Bank Rakyat atas namanya dan meminta wang dimasukkan dari akaun lain, atas alasan untuk memastikan wang terbabit bebas daripada hasil jenayah.

Selepas akaun berkenaan dibuka, katanya, mangsa menyertakan gambar kad pengeluaran wang automatik (ATM) berserta nombor akaun terbabit kepada ‘Inspektor Ku’ yang didakwa dari IPK Sabah.

Beliau berkata, mangsa membuat pembayaran tujuh kali dari beberapa bank mulai 8 April lalu, dengan pembayaran pertama RM245,600 dan kedua RM107,300 ke dalam akaun Bank Rakyat terbabit.

“Pembayaran ketiga dan keempat dibuat pada 14 April ke akaun yang sama sebanyak RM258,600 dan pada 20 April, melalui cek berjumlah RM108,600.

“Pembayaran kelima dibuat secara tunai pada 27 April menerusi Ambank Seremban berjumlah RM22,700.

“Pada 29 April, mangsa ke Public Bank Seremban untuk membuat dua kali pembayaran secara rentas ke atas akaun yang sama berjumlah keseluruhan RM60,000,” katanya.

Aibee berkata, pembayaran dibuat mangsa ke dalam akaun itu berjumlah RM802,800 dan mangsa menyedari ditipu selepas suspek tidak dapat dihubungi sebelum membuat laporan polis.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here