Madrasah Solok Duku di Melaka, kluster baharu jangkitan Covid-19

0
267
Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah

CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan satu kluster baharu melibatkan sebuah madrasah tahfiz di Solok Duku, Masjid Tanah, Melaka.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, setakat ini sebanyak 107 pelajar, guru dan ahli keluarga daripada kluster berkenaan sudah disaring.

Beliau berkata, hasil saringan itu mendapati dua kes positif Covid-19 dalam kalangan 35 pelajar, manakala tiada kes positif membabitkan 10 guru dan kakitangan madrasah berkenaan.

“Dua kes positif Covid-19 dalam kalangan 62 ahli keluarga guru, kakitangan dan pelajar. Hingga kini, seramai 19,209 orang pelajar, guru dan kakitangan sudah dikenal pasti daripada sebanyak 370 buah madrasah dan pusat tahfiz di seluruh Malaysia.

“Daripada jumlah keseluruhan ini sebanyak 12,384 sampel telah diuji, iaitu 64.5 peratus dan keputusannya adalah 635 kes positif Covid-19, manakala 10,755 kes lagi negatif dan masih menunggu keputusan (994 kes),” katanya dalam sidang akhbar harian Covid-19 hari ini.

Dr. Noor Hisham berkata, susulan penularan kes Covid-19 dalam kalangan peserta perhimpunan di Seri Petaling, pihaknya sudah menjalankan pengesanan kes secara aktif dan pendekatan tertumpu kepada madrasah tahfiz.

Beliau berkata, setakat hari ini terdapat sebanyak enam buah kluster Covid-19 yang melibatkan madrasah tahfiz yang mana empat kluster tersebut merupakan subkluster kepada perhimpunan di Seri Petaling, manakala dua lagi masih dalam siasatan.

“Ia membabitkan saringan dan persampelan pelajar, guru dan kakitangan dari madrasah, tahfiz, sekolah pondok dan kontak rapat mereka yang berkait rapat dengan perhimpunan berkenaan,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here