Malaysia tangga ke-4 daripada 105 negara terbaik di dunia

0
1983

CYBERJAYA – Malaysia berada di tangga keempat dari 105 negara daripada segi tahap kepuasan hati rakyat terhadap usaha dilakukan kerajaan dalam menangani wabak Covid-19

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu dilakukan dalam satu kajian oleh sebuah agensi penyelidikan yang berpangkalan di Singapura.

Beliau mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan yang banyak berkorban sepanjang tempoh kira-kira tiga bulan untuk memastikan rakyat terselamat daripada wabak itu.

“Saya juga merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia dari Perlis hingga ke Sabah yang sentiasa berdisiplin mematuhi arahan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dan PKPB (Bersyarat) sehingga memudahkan para petugas barisan hadapan kita menangani krisis ini. 

“Hasil daripada usaha bersungguh-sungguh dilakukan oleh para petugas barisan hadapan dan disiplin saudara-saudari sepanjang tempoh PKP dan PKPB dilaksanakan, kita telah berjaya menjadikan hampir seluruh mukim atau zon di negara kita berstatus hijau,” katanya dalam Perutusan Khas yang disiarkan secara langsung menerusi saluran televisyen utama hari ini.

Perdana Menteri menambah, kawasan tersebut tidak mencatatkan sebarang kes positif Covid-19 baharu dalam tempoh dua minggu lalu.

Beliau berkata, daripada 1,178 mukim, bahagian, zon, sub-zon dan presint seluruh negara, sebanyak 1,112 atau 99.4 peratus dikategorikan sebagai hijau.

Menurut beliau, manakala 62 atau 5.2 peratus dikategorikan sebagai kuning dan hanya empat atau 0.34 peratus yang masih berstatus merah. 

“Yang empat dimaksudkan dengan status merah ialah kawasan yang mencatatkan lebih 40 kes positif Covid-19. 

“Empat kawasan setakat ini yang masih berstatus merah iaitu Mukim Batu, Gombak, Selangor; Zon Batu, Mukim Batu, Kuala Lumpur; Zon Kampung Baharu, Mukim Bandar, Kuala Lumpur dan Mukim Pedas, Daerah Rembau, Negeri Sembilan,” jelas beliau.

Beliau menasihati penduduk kawasan terbabit supaya lebih berhati-hati apabila keluar rumah. 

“Amalkan penjarakan sosial. Pakai penutup mulut dan hidung. Sentiasa bersihkan tangan. Kalau boleh kurangkan aktiviti di luar rumah. Bagi penduduk di luar kawasan ini jangan berkunjung ke kawasan ini buat masa ini,” katanya.

Menurut beliau, itu adalah lebih baik supaya rakyat tidak terdedah kepada jangkitan wabak tersebut.

Bagi kawasan hijau pula, Muhyiddin mengingatkan penduduk kawasan itu supaya menjaga pergerakan bagi mengelak tempat mereka dijangkiti semula wabak itu.

“Jangan ingat anda semua telah selamat dan boleh bergerak ke sana sini dengan bebas. Rakyat mungkin beranggapan yang tidak akan dijangkiti wabak ini kerana berada di kawasan hijau. 

“Tetapi saya nak ingatkan selalu yang virus Covid-19 ini adalah musuh senyap yang kita tak nampak. Ia boleh menyerang kita pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.  Jadi, berhati-hatilah,” ujarnya. 

Beliau juga menekankan kepada rakyat tentang penjarakan sosial, memakai topeng mulut dan hidung, dan membersih tangan mestilah terus diamalkan sehingga berjaya menemui vaksin untuk membunuh virus itu. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here