Masjid Negara kembali mengadakan solat Jumaat selepas 2 bulan

0
195
Sebahagian jemaah yang menunaikan solat Jumaat di Masjid Negara hari ini

KUALA LUMPUR – Selepas kira-kira dua bulan terpaksa ditangguhkan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Masjid Negara di sini kembali diimarahkan dengan solat Jumaat hari ini.

Solat Jumaat itu yang diadakan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dihadiri oleh 30 jemaah.

Sebelum solat Jumaat itu yang diimamkan oleh Imam Besar Masjid Negara, Ehsan Mohd. Hosni diadakan, setiap jemaah diwajibkan menjalani pemeriksaan suhu badan dan perlu merekodkan maklumat peribadi sebelum dibenarkan masuk.

Selain itu, setiap saf jemaah juga disusun dengan jarak satu meter antara satu sama yang lain dan mereka juga perlu memakai topeng muka.

Solat Jumaat itu berlangsung selama 15 minit dengan khutbah Jumaat juga dibacakan secara ringkas.

Setiap jemaah dipisahkan dengan jarak satu meter

Dalam khutbah bertajuk Muafakat Meraih Berkat itu, khatib yang bertugas menekankan mengenai peranan para ulama, umara dan rakyat dalam menentukan kejayaan dan kesejahteraan sebuah negara terutamanya dalam menangani penularan wabak
penyakit Covid-19.

“Keputusan kerajaan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan secara berperingkat dengan penguatkuasaan
SOP oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan dan disokong oleh semua agensi dan rakyat merupakan langkah yang tepat pada masanya.

“Ini bertepatan dengan kaedah yang menyatakan urus tadbir pemerintah ke atas rakyat adalah mengambil kira maslahah,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Mohd. Ajib Ismail berkata, sebanyak 25 masjid dan 31 surau dalam Wilayah Persekutuan Kuala lumpur, Putrajaya dan Labuan hari ini mengadakan solat Jumaat.

Beliau berkata, kebenaran itu diberikan selepas semua masjid dan surau terbabit berada dalam zon hijau.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here