Oleh SITI AZIELAH WAHI
Nor Azamir Alias menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima
PUTRAJAYA – Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA) di sini menyantuni 60 orang kurang upaya (OKU ) sekitar Putrajaya menerusi Program Musa’adah Ambang Syawal 1441 bersama OKU Putrajaya hari ini.
Program penyerahan sumbangan barangan keperluan harian itu diserahkan oleh Imam Besar Masjid MTMZA, Nor Azamir Alias.
Noor Azamir berkata, program yang dianjurkan setiap tahun itu merupakan tradisi masjid berkenaan sejak 10 tahun lalu.
“Sumbangan keperluan makanan ini diberikan kepada golongan OKU yang juga merupakan rakan strategik masjid ini. Golongan OKU merupakan sebahagian dari jemaah masjid, dan sering diberi perhatian dengan kemudahan asas untuk kegunaan mereka,” katanya.
Antara penerima sumbangan yang hadir pada Program Musa’adah Ambang Syawal 1441
Sementara itu, Pengerusi Persatuan OKU Putrajaya, Azahari Ibrahim berkata, MSZA tidak pernah gagal menjaga kebajikan kariahnya khususnya golongan itu yang berkeperluan khas termasuk menyediakan prasarana dan kemudahan masjid demi keselesaan mereka melakukan ibadat.
“Banyak kemudahan masjid dinaik taraf seperti tempat letak kenderaan yang banyak, tempat wuduk, dan laluan khas OKU ditambah baik demi keselesaan kami,”katanya.
Dia turut mengucapkan penghargaan kepada pihak masjid yang prihatin terhadap keperluan golongan OKU dan sumbangan yang diberikan.-MBNews