
CYBERJAYA – Bekas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik menolak pelantikan beliau sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Mara Corp. seperti yang diumumkan semalam.
Beliau berkata, keputusan itu diambil kerana ia tidak selari dengan mandat yang diberikan kepadanya daripada penyokong dan rakyat Simpang Renggam serta rakyat Malaysia.
“Saya percaya, apa-apa sahaja bentuk lantikan adalah amanah dari rakyat, dan harus pulang kepada rakyat. Kepentingn rakyat adalah paksinya dan bukannya keuntungan peribadi.
“Perhitungan saya jelas, keputusan yang bakal saya lakukan mesti selari dengan mandat yang diberikan kepada saya dari penyokong dan rakyat Simpang Renggam khususnya, juga rakyat Malaysia umumnya,” katanya dalam laman Facebook miliknya hari ini.
Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam memenangi kerusi berkenaan atas tiket Parti Bersatu bersama gabungan Pakatan Harapan (PH).
Namun disebabkan pergolakan politik dalam gabungan tersebut menyebabkan Bersatu menarik diri sehingga mewujudkan dua kelompok dalam parti itu yang mana satu pihak menyokong Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan satu kumpulan lagi meyokong Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad
Selain itu, Maszlee berkata, buat masa ini, beliau juga mahu memberikan tumpuan terhadap nasib rakyat yang terkesan akibat Covid-19.
“Di Simpang Renggam sendiri, terlalu banyak keluarga yang tersadai derita dan perlu dibantu.
“Justeru itu, saya tidak boleh menerima lantikan ini buat masa ini. Kita masih belum menang melawan Covid-19. Negara kita harus menang dahulu, bebas dari bencana, dan kehidupan rakyat kembali stabil,” ujarnya. -MT