Menanti penuh debar malam Lailatul Qadar

0
350

CYBERJAYA-Dalam penuh rasa keinsafan kita berpuasa, sedar tidak sedar kita semakin menghampiri penghujung Ramadan dan 10 malam terakhir ini merupakan malam yang penuh keberkatan.

Sudah pastinya malam-malam terakhir ini adalah saat yang ditunggu-tunggu umat Islam yang bertekad untuk meningkatkan keimanan dan mendapatkan pengampunan daripada Allah serta ganjarannya.

Menginjak ke 10 malam terakhir Ramadan, rata-rata umat Islam pastinya akan berkejar-kejar dan meningkatkan amalan ibadah bagi bertemu malam yang penuh keberkatan, iaitu malam Lailatul Qadar.

Apakah yang dimaksudkan dengan malam Lailatul Qadar? Lailatul Qadar merupakan merupakan satu malam yang sangat istimewa di bulan Ramadan dan ianya turut dijelaskan dalam Surah al-Qadr ayat satu hingga tiga.

“Sesungguhnya kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan.”

Daripada Aishah RA, bahawa Rasulullah beriktikaf di masjid pada 10 malam terakhir Ramadhan kemudian Baginda bersabda : Carilah Lailatul Qadar dalam sepuluh malam yang terakhir daripada bulan Ramadan.

Para ulama bersependapat bahawa Lailatul Qadar akan berlaku di malam 10 yang terakhir di bulan Ramadan, pendapat berkenaan bersandarkan kepada banyak hadith Rasullah.

Ada juga pendapat-pendapat para ulama yang mengatakan bahawa Lailatul Qadar akan berlaku pada malam-malam yang ganjil daripada sepuluh malam ini iaitu pada malam ke 21, 23, 25, 27 dan 29.

Namun untuk berlakunya malam Lailatul Qadar itu, hanya Allah sahaja yang mengetahui bila masanya dan kepada siapa dalam kalangan hamba-hambaNya yang dikehendaki.

Perkara itu diakui Imam Masjid Tunku Mizan Zainal Abidin, Hamdan Muhamad yang mana umat Islam tidak perlu memilih malam ganjil sahaja untuk menggandakan amalam di 10 terakhir Ramadan.

“Kita jangan pilih hari ganjil sahaja untuk mengjar Lailatul Qadar sebaliknya gandakan amalan setiap hari kerana nikmat pahalanya amat besar. Semua itu sudah di janjikan Allah untuk umatNya,” katanya.

Beliau berkata, mulianya malam Lailatul Qadar ini sehingga melebihi daripada 1,000 bulan dengan setiap amalan yang dilakukan akan diberi pahala 1,000 kali ganda berbanding pahala pada hari biasa.

“Justeru bagi mendapatkan malam yang penuh istimewa ini, setiap umat Islam perlulah melakukan amalan dan ibadah dengan bersungguh-sungguh seperti menghidupkan malam dengan mengerjakan solat dan membaca al-Quran.

“Beriktikaf dengan melakukan perbuatan-perbuatan yang mendekatkan diri kepada Allah seperti solat, zikir, membaca al-Quran, perbanyakkan doa minta keampunan dari Allah selain sedekah,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here