Mereka adalah benteng pertama dan terakhir kita

0
246
Gambar media sosial.

PENULIS tidak tahu orang lain, tetapi sejak penularan wabak Covid-19 ini ada dua keping gambar tular yang penulis rasa memberikan impak dan kesan yang cukup mendalam.

Bukan mahu mengulas dari sudut fotografi atau kewartawanan tetapi sekadar ingin menghargai kehebatan momen dan mesej yang dirakam itu sehingga kekal melekat di dalam kepala.

Yang pertama adalah gambar petugas hospital yang lengkap dengan pakaian perlindungan peribadi (PPE) berpelukan sesama mereka dan terbaharu gambar orang ramai beratur panjang di kedai pajak gadai.

Menatapnya sahaja sudah cukup untuk menceritakan keperitan yang dilalui masyarakat pelbagai lapisan ketika berdepan dengan penularan virus maut itu. Cerita di hospital dan cerita di jalanan.

Ia adalah satu bentuk komunikasi visual yang mengajar dan meninggalkan memori.

Namun dalam keterujaan kita meraikan sedikit ‘kemenangan’ daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu, pengajaran dari gambar tersebut tidak harus dilupakan.

Bahkan ia adalah realiti perjuangan yang dihadapi oleh pejuang-pejuang barisan hadapan negara dan rakyat jelata terutama yang terkesan teruk akibat kehilangan punca rezeki.
Masing-masing dengan kisah tersendiri dan perjuangan mereka juga masih jauh daripada berakhir.

Dengan kelonggaran ‘pasca’ berkurung yang dinikmati sekarang, marilah kita sama-sama berusaha meneruskan norma-norma kesihatan yang selama ini telah dipraktikkan.

Jadikan ia sebagai simbol penghargaan kita kepada pasukan barisan hadapan. Kepatuhan kita kepada norma-norma baharu tidak sepatutnya berakhir dengan kelonggaran Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula 4 Mei lalu.

Ini kerana di hospital atau di mana sahaja lapangan tugas mereka, cabaran yang dihadapi mereka tidak akan bertambah baik dengan pelaksanaan PKPB bahkan semakin berisiko.

Dan sekiranya penularan semakin bertambah selepas ini, merekalah golongan terawal yang terkesan. Mereka ibarat benteng pertama dan terakhir yang kita ada.

Sesekali kenanglah keperitan petugas barisan hadapan yang bermandi peluh dalam set PPE mereka, yang kita sebagai manusia tidak dapat bayangkan penderitaan untuk menyarung pakaian seumpama itu.

Dan jangan juga sesekali kita lupa tentang kisah petugas kesihatan yang terpisah berminggu-minggu dengan ahli keluarga. Tidak mustahil itu semua akan berulang dan berterusan.

Namun demi tugas yang tidak memberi mereka banyak pilihan, barisan petugas kesihatan kita perlu terus berdiri dengan segala sokongan dan tiupan semangat yang kita ada.

Jangan sesekali kita mengendurkan semangat mereka dengan perangai dan tabiat yang tidak bertanggungjawab kita. Jika boleh kekal sahaja di rumah dan terlalu bebas. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here