Mereka dikuarantin, waris pesakit meninggal dunia antara penerima bantuan Tabung Covid-19

0
167

Oleh SITI AZIELAH WAHI

CYBERJAYA – Tabung Covid-19 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri pada 10 Mac lalu berjaya mengumpul sebanyak RM40,298,699.49 hasil sumbangan pelbagai pihak.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, hasil kutipan tersebut sejumlah RM125,700 telah diberikan kepada 94 individu yang hilang pendapatan kerana dirawat sebagai pesakit Covid-19 dan menjalani proses kuarantin selepas menjadi kontak rapat pesakit tersebut.

“Bagi individu yang telah dirawat kerana positif Covid-19 atau kontak rapat kepada pesakit telah dikenakan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian Bagi Kontak Covid-19, mereka akan diberi RM100 sehari bagi 14 hari tempoh kuarantin,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-Menteri Mengenai PKP hari ini.

Menurut Ismail Sabri, warganegara Malaysia daripada dua kumpulan ini layak memohon bantuan iaitu mereka yang bekerja tetapi telah kehilangan sumber pendapatan atau tidak dibayar gaji sepanjang tempoh dikenakan Perintah Pengawasan Dan Pemerhatian yang diarah kuarantin oleh KKM selama 14 hari.

Selain itu katanya, mereka yang bekerja tetapi telah kehilangan sumber pendapatan atau tidak dibayar gaji sepanjang tempoh menjalani rawatan di wad hospital ekoran Covid-19 juga layak memohon bantuan.

Bagaimanapun menurutnya, mereka yang berada di rumah kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak layak menerima bantuan ini.

Pada masa sama Ismail Sabri memaklumkan, Bantuan Ihsan Kematian sebanyak RM5,000 juga telah diserahkan kepada semua waris bagi mereka yang erkorban akibat Covid-19.

“Bantuan Ihsan Kematian telahpun diberi kepada 71 waris dengan jumlah RM355,000.

Sejumlah RM25,229,105.44 pula telah disalurkan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menerusi Yayasan Kebajikan Negara untuk bantuan kepada warganegara Malaysia yang memerlukan, “katanya.-MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here