Misi menjadi Muhammad

0
263

Susunan NORDEN MOHAMED

Siaran langsung akaun Facebook Pejuang Ekonomi Islam, Mohd. Fadzil Hashim

SAYA ingin berkongsi ilmu yang saya peroleh daripada bos besar ‘Otai’ Group, Dr. KH Sifu Khalifah Suhaimi Haji Abas. Saya cukup bersyukur bertemu beliau.

Menurutnya, sebaik-baik role model yang patut kita contohi ialah Nabi Muhammad SAW. Tetapi, dalam amalan seharian, kita selalu berasakan apa yang dilakukan oleh Nabi SAW macam mustahil untuk diikuti. Kebanyakan daripada kita tidak pula berusaha untuk mengikuti Nabi SAW sepenuhnya.

Misi menjadi Muhammad ini bukan sekadar mengikut karakter semata-mata. Yang harus dituruti juga ialah perjuangannya. Baginda meninggalkan kita semua dengan panduan hidup agar kita jadi manusia, bukannya malaikat.

Kita belajar agama penuh dengan teori-teori ilmu yang hebat tetapi amalan kita kurang. Perjalanan hidup Nabi dari kecil menjadi pengembala kambing selama 9 tahun dan kemudiannya berniaga. Kebanyakan masanya ialah bekerja.

Mencari Jalan Memerangi Riba

Misi Menjadi Muhammad, ialah menjadikan diri kita seperti ‘Nabi Muhammad saw’ dengan cuba membayangkan seolah-olah Baginda ada bersama kita. Apakah Rasulullah saw menyetujui apa yang kita sedang lakukan? Apakah kita semakin mengikuti jalannya atau kita kian jauh dari caranya?

Contoh, ada banyak isu kehidupan kita hari ini yang bercanggah dengan perintah Allah SWT seperti riba. Betapa perlu kita bina sistem ekonomi Islam untuk menggantikan riba. Mengapa kita masih mengamalkan riba? Apakah kita takut dengan kemiskinan, atau takut dengan sistem sampai kita tak takut dengan Allah SWT?

Kita sendiri tidak mahu berusaha, bila ada pihak yang berusaha memerangi riba, kita tak mahu sokong pula. Bila terjadi sesuatu perkara, kita tinggalkan pegangan agama kita dan kita ikut emosi dan nafsu kita.

Sebagai contoh, kes boikot Jakel. Bila ada orang Islam buat salah, tujuan kita ialah mencontohi apa yang Rasulullah saw lakukan. Kalau seseorang itu buat salah, kita kena pimpin dia bawa ke jalan yang benar.

Misi kita ialah mengikut panduan Nabi SAW, bukan panduan Coach Fadzil atau sesiapa pun. Kalau siapa-siapa sama ada Coach, guru mahupun ulama yang bawa kita jauh daripada agama, itu bukan jalan yang patut kita ikuti.

Mengikuti Cara Rasulullah SAW

Misi Menjadi Muhammad ini harus dipasakkan ke dalam hati masing-masing yang mana kita kena ambil seluruh kehidupan Rasulullah. Apa yang Baginda lakukan ialah memberi kesejahteraan kepada masyarakat.

Sebab itu di antara hadis Rasulullah mengenai peranan individu di dalam masyarakat ialah, “Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia.”(HR Ahmad) Kita sewajarnya kena berfikir bagaimanakah caranya untuk kita memberi manfaat kepada manusia lain.

Berapa ramai di antara kita yang terlibat dalam perjuangan untuk membina kekuatan Islam samada dari aspek ekonomi, politik, pendidikan menurut peranan masing-masing. Tetapi yang lebih penting ialah adakah anda kini dalam sesebuah perjuangan untuk agama?

Sekiranya kita masih belum lagi, kita ada usahakan melalui koperasi. Kalau belum sertai, marilah sama-sama dalam perjuangan ini.

Misi Menjadi Muhammad ini adalah usaha untuk cuba mengikuti panduan yang diberikan kepada kita oleh Allah SWT. Kita ada al-Quran, ada hadis serta panduan dari ulama-ulama kita. Kita kena bincang dengan anak-anak kita tentang Misi Menjadi Muhammad ini.

Mengapa Nabi Membuka Pasar Islam?

Kita punyai misi menjadi manusia dengan mencontohi cara Rasulullah SAW menyantuni para sahabatnya, jiran-jirannya, sebagai ketua kepada mereka yang dipimpinnya. Kita kena ikuti cara Baginda berekonomi, bagaimana Nabi membuka pasar Islam.

Masih ramai dalam kalangan kita yang masih ingin pergi ke pasar bukan Islam. Ini kita belum faham lagi. Betapa Baginda apabila sampai ke Madinah, terus membuka pasar Islam kerana di situ ada keberkatan. Kalau kita tak boleh buat, sekurang-kurangnya kita kena menyokong orang yang buat.

Melabur Itu Satu Perjuangan

Mari kita renungi, apakah benda yang kita buat selama ini mengambil kira Rasulullah saw sebagai role model kita? Contohnya, ramai yang menyertai KoPPIM bertanya tentang pulangan. Walaupun mendapat pulangan adalah tujuan kita, fokus kita kepada pulangan itu menggambarkan yang kita belum faham tentang perjuangan.

Seharusnya, persoalan utama ialah memahami apa itu perjuangan yang cuba dibawa? Ini adalah perjuangan untuk menyatukan. Apabila menyertai KoPPIM seseorang itu harus menerangkan penglibatannya kepada teman-teman yang lain. Bukan sekadar menjadi ahli dan tidak berbuat apa-apa.

Setiap kamu adalah pemimpin. “Ketahuilah Setiap daripada kamu adalah pemimpin, dan setiap daripada kamu akan diminta pertanggungjawaban terhadap apa yang dipimpin. (HR Muslim) Inilah yang dibawa oleh Rasulullah SAW.

Sebab itu saya selalu berkata, tiada usia persaraan di dalam Islam. Kita hanya bersara apabila kita meninggal dunia, ataupun apabila sakit terlantar. Kita sudah menghampiri pertengahan Ramadan. Ini adalah waktu kita bertindak melalui platform yang kita ada.

Merdekakan Diri Daripada Cengkaman Kapitalis 

Sewaktu Malaysia mendapat kemerdekaan, orang Melayu pada ketika itu menyerahkan emas, cincin mereka yang ada kepada Tunku Abdul Rahman sebagai perbelanjaan untuk ke London bagi mendapat kemerdekaan.

Kita pula pada hari ini ingin memerdekakan diri kita dari penjajahan sistem kapitalis. Kita dijajah oleh emreka yang punyai kekuatan kewangan dengan memaksa kita dengan amalan riba. Ini menjauhkan kita dari ALLAH swt secara terang-terangan.

Sehinggakan kita berasa lemah semangat dan berasa terperangkap tidak boleh berbuat apa-apa untuk menentang riba. Seolah-olah kita tidak yakin dengan kehendak ALLAH. Sebenarnya jika seseorang itu yakin dengan Allah SWT, Allah akan balas keyakinan itu dengan kejayaan.

Bagaimana kita hendak berjaya jika kita tidak yakin kepada Allah? Bukankah apa yang kita perolehi pada hari ini adalah kurniaan daripada-Nya? Bukannya kerana kita hebat dan sebagainya. Cuma, apabila kita melakukan sesuatu kemungkaran, khususnya hal-hal yang melibatkan masyarakat, maka kita secara umumnya akan mendapat balasan.

Dalam perbincangan dengan bos besar Otai Group, beliau berkata, apakah kita sedar mengapa banyak doa kita tidak diterima? Contohnya apabila berdoa agar Allah SWT selamatkan Palestin, kita bukan setakat berdoa semata-mata tetapi perlu pastikan kehidupan kita, mereka di sekeliling kita diajak untuk ikut cara Nabi SAW. Seboleh-bolehnya kita ikut apa yang Nabi SAW tinggalkan.

Solat Itu Penting Tetapi Hidup Seharian Adalah Penentu

Ibadah solat dalam kehidupan kita bukannya lama. Kalau kita ambil masa 10 minit untuk satu waktu solat, ertinya kita mengambil 50 minit dalam sehari. Katalah semuanya satu jam. Hanya sejam sahaja ibadah yang khusus sementara yang lain-lain adalah muamalat.

Hidup seharian kita itulah yang akan menjadi neraca utama samada kita mengikuti Nabi Muhammad saw. Apakah kita mengamalkan versi Muhammad kita atau tidak mahu mangamalkan langsung? Apakah 8 jam waktu kerja kita itu mengikuti cara Nabi saw atau sebaliknya.

Banyak orang yang pisahkan di antara kejayaan dunia dan akhirat. Sebagai peringatan, apabila kita berjuang menurut cara Muhammad saw, kita hendak berjaya di dunia untuk mencapai kejayaan di akhirat. Ia bukan dengan cara mendapat kejayaan di dunia dan menangguhkan usaha berjaya di akhirat pada hari-hari kemudian. Atau dengan hasrat, bila dah tua nanti, bolehlah duduk di masjid.

Masjid Bukan Tempat Mereka Yang Nak Mati 

Sebenarnya masjid bukan tempat untuk mereka yang sudah nak mati. Masjid adalah rumah Allah SWT untuk dikunjungi untuk beribadah dan setelah itu terus pergi berperang ke jalan Allah SWT. Itulah yang Rasulullah saw lakukan iaitu berjihad atau bermujahadah.

Sebab itulah walaupun kita duduk di masjid lebih dari dua jam, yang hendak diukur ialah apa yang kita lakukan apabila keluar daripada masjid. Di peringkat itu, pertimbangan kita perlu mengikut neraca Nabi saw. Jika ada yang berfikir bahawa dia hebat kerana belajar 20 atau 30 tahun, yang lebih penting sebenarnya ialah apabila dia mengamalkan apa yang dia pelajari di dunia luar.

Mungkin kita tahu hanya sedikit. Walaupun hanya tahu sepotong ayat, seseorang itu sudah boleh menyampaikan seruan. Yang penting, kita mengamalkan apa yang diseru. Semoga Allah memberi kefahaman kepada kita. Jom kita jadi Muhammad versi kita yang berpandukan apa yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW sebagai qudwah hasanah atau role model kita.

Semoga Allah SWT memberi kita kekuatan untuk membina hati-hati kita yang jauh sebelum ini untuk menyatu dan bersatu menjadi tonggak kekuatan ekonomi Islam, Insya-Allah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here