Moga keadilan tertegak buatmu wahai Adib – Isma

0
281

CYBERJAYA- Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) menyokong penuh usaha bapa Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kasim mengemukakan representasi bagi mendapatkan pendirian Jabatan Peguam Negara berhubung permohonan prosiding komital yang difailkan terhadap Tan Sri Tommy Thomas.

Presiden Isma, Aminuddin Yahaya berkata, permohonan itu dibuat berikutan campur tangan bekas Peguam Negara itu dalam urusan kes Allahyarham Muhammad sekaligus mengganggu urusan mahkamah.

Beliau berkata, tindakan sedemikian sememangnya sesuatu yang sangat tidak wajar dan tidak boleh diterima lebih-lebih lagi apabila pelakunya adalah Peguam Negara.

“Usaha itu dibuat berhubung permohonan prosiding komital yang difailkannya terhadap bekas Peguam Negara yang campur tangan dan mengganggu urusan mahkamah.

“Isu ini merupakan soal prinsip dan etika sebagai seorang professional dan seorang Peguam Negara. Adalah tidak wajar untuk Tommy yang sepatutnya faham tentang tatacara perbicaraan untuk mengganggu gugat urusan dan keputusan mahkamah menggunakan kuasa dan kapasitinya sebagai Peguam Negara.

“Malah, kita difahamkan bahawa beliau seolah-olah membuat keputusan ‘premeditated’, apabila beliau sesuka hati mengumumkan bahawa tidak adanya kes bunuh sebelum ada sebarang keputusan dibuat di mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, lebih malang lagi ialah, Tommy telah melepaskan suspek-suspek pembunuhan yang telah ditangkap oleh pihak polis tanpa sebab yang kukuh yang akhirnya mereka hilang entah ke mana.

“Jadi, saya merasakan bahawa prosiding yang dibuat ini adalah sangat kritikal bagi membersihkan imej dan integriti pejabat peguam negara dan yang paling penting ialah imej yang baik kepada sistem kehakiman dalam negara kita.

“Kita tidak boleh biarkan perkara seperti ini berulang lagi terutamanya dalam kes-kes berprofil tinggi yang boleh mencetuskan isu perkauman dan agama sebagaimana dalam kes Allahyarham Muhammad Adib,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap agar Peguam Negara yang baharu ini dapat meneruskan prosiding komital terhadap Tommy sebagai satu pengajaran kepada semua terutamanya sesiapa jua yang menjawat jawatan Peguam Negara itu sendiri.

“Saya menyeru kepada semua rakyat Malaysia untuk bersama-sama sempena Hari Bomba Sedunia tahun ini untuk memberikan sokong kepada tuntutan-tuntutan yang dibuat oleh bapa Allahyarham Muhammad Adib untuk meminta Peguan Negara meneruskan prosiding komital terhadap salahlaku yang dibuat oleh Tommy

“Moga keadilan tertegak buatmu, wahai Adib,” katanya.

Terdahulu hari ini, Peguam Aidil Khalid, yang mewakili bapa Muhammad Adib, Mohd. Kassim Abdul Hamid memaklumkan pihaknya menghantar surat representasi itu kepada Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun menerusi faksimili dan e-mel semalam.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here