MOT bantu 10,000 pemandu bas pelancong, persiaran

0
200
Gambar hiasan

Oleh NINA FARZUIN MD SHAROM

CYBERJAYA – Sebuah portal khas diwujudkan oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) bagi mempermudahkan proses pendaftaran permohonan Bantuan Prihatin Pemandu Bas Pelancong Persiaran.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, usaha itu dilakukan kerana kerajaan menyedari bahawa industri pelancongan antara yang paling terjejas akibat penularan Covid-19.

“Pihak kementerian sentiasa prihatin dan menyedari permasalahan yang menimpa hampir 10,000 pemandu bas persiaran dan serta lebih 1,000 syarikat yang mempunyai bas persiaran akibat dari wabak ini.

“Portal https://prihatin.mot.gov.my/ diwujudkan untuk memudahkan proses pendaftaran permohonan bantuan untuk mereka yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut mengenai bantuan tersebut, beliau berkata, syarikat pelancongan yang memiliki Lesen Perniagaan Pengendalian Pelancongan/ Perniagaan Agensi Pengembaraan (TOBTAB) yang masih dalam tempoh sah laku dan mempunyai lesen kenderaan berdaftar adalah layak mengisi butiran pemandu masing-masing melalui portal tersebut.

“Butiran yang perlu dimuatnaik merangkumi maklumat mykad, lesen serta akaun pemandu. Syarikat akan diberi masa dua minggu bermula hari ini,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, senarai pemandu yang telah diserahkan oleh syarikat masing-masing akan disaring untuk memenuhi kriteria yang ditetapkan.

“Antara kriteria adalah pemandu adalah warganegara Malaysia, berstatus lantikan tetap dan mempunyai caruman Perkeso.

“Selain itu, pemandu perlu memiliki Lesen Vokasional (PSV), Lesen E atau memandu yang berkenaan yang masih dalam tempoh sah laku dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here