[VIDEO] Nasib Azlan terus dapat perhatian

0
502

KUALA TERENGGANU – Nasib bekas jurugambar Utusan Malaysia, Azlan Baharom yang terlantar akibat sakit gout kronik mendapat perhatian Program Zero Hunger dan Persatuan Kebajikan Anak Kami.

Sukarelawan Program Zero Hunger dan wakil persatuan berkenaan singgah di kediaman Azlan di Pangsapuri Ladang Tok Pelam, Kuala Terengganu Isnin lalu semasa misi bantuan di negeri tersebut.

Bekas jurugambar media terlantar penangan gaut

Sakit gout kronik membuatkan Azlan tidak boleh menguruskan diri dan nasibnya tidak ubah seperti sudah jatuh ditimpa tangga apabila turut dikesan mempunyai masalah buah pinggang tahap tiga ke tahap empat.

Beliau juga sudah tidak mampu bangun dan berjalan seperti biasa sejak dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan hanya terlantar di katil dan bergantung kepada isterinya Norhaspida Yatim, 34.

Azlan yang kini terlantar kerana sukar bergerak dan menguruskan diri kerana sendinya yang semakin membengkak akibat lebihan asid urik, mendapat perhatian dari pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri.

Menurut Norhaspida, Azlan dimasukkan ke hospital pada 26 April lalu kerana keracunan makanan dan selepas itu gout mula ‘menyerang’ selain doktor turut mengesan suami ada masalah buah pingang.

“Untuk perkembangan terbaharu, dia tidak boleh bangun dan duduk seperti biasa hanya terlantar di katil. Keadaan bertambah teruk (masalah gout) selepas masuk ke hospital baru-baru ini.

“Sebelum ini memang bergantung kepada ubat tahan sakit dan sebab itu juga mungkin akibatkan buah pingang bermasalah,” katanya yang memaklumkan Azlan ada masalah gout sejak berumur 19 tahun.

Sementara itu, Norhaspida melahirkan kesyukuran di atas keprihatinan semua pihak yang memberikan bantuan kepada keluarganya sejak berita mengenai keadaan Azlan dilaporkan di portal-portal berita.

“Terima kasih kepada semua pihak yang begitu prihatin dan mempermudahkan urusan kami. Saya pada mulanya buntu kerana terlalu banyak komitmen yang perlu diberikan memandangkan saya bekerja.

“Mujurlah rakan-rakan banyak membantu menguruskan Azlan kerana kudrat saya tidak kuat untuk mengangkatnya, ada juga yang sanggup menjaga anak-anak kami ketika saya terpaksa menjaganya di hospital,” katanya.

Bagi mereka yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank Azlan Baharom (114076071284). Jika akaun berkenaan disekat, bantuan boleh disalurkan menggunakan akaun Norhaspida Yatim juga Maybank (156057287629).-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here