Negara lain lebih teruk layan PATI – Ismail Sabri

0
481
Malaysia tetap melayan pendatang asing tanpa izin (PATI) secara adil dan berperikemanusiaan walaupun golongan itu memasuki negara ini secara haram. Foto: internet

Oleh SITI KHAIRULNISAH MOHAMMED BAJURI

CYBERJAYA – Malaysia tetap melayan pendatang asing tanpa izin (PATI) secara adil dan berperikemanusiaan walaupun golongan itu secara terang-terangan melanggar undang-undang negara dengan memasuki negara ini secara haram.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan adil ini dapat dilihat apabila PATI yang ditahan diberi layanan baik termasuk makanan secukupnya walaupun dihantar ke depoh tahanan.

“Tak baik menuduh Malaysia bertindak tanpa perikemanusiaan. Negara lain jauh lebih teruk untuk mengendalikan PATI di negara mereka.

“Kita dah kira baik, maka tak payahlah ada kalangan pemimpin politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengambil kesempatan ini nak jadi hero kepada PATI,” katanya dalam sidang akhbar, di sini, hari ini.

Ismail Sabri

Dalam pada itu, Ismail Sabri memberitahu sebanyak tiga hospital yang disediakan kerajaan membabitkan 1,430 katil mampu menampung jika berlaku peningkatan membabitkan kes positif Covid-19 dalam kalangan PATI.

Katanya, jika berlaku kenaikan kes di dalam depoh tahanan imigresen selain tiga depoh itu seperti dijelaskan semalam, kerajaan sudah bersiap sedia.

Menurutnya, tiga hospital sudah dikenal pasti iaitu di Maeps yang mampu memuatkan 600 pesakit, di Hospital Kusta Sungai Buloh dan wad bersalin di Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang tidak digunakan.

“Setakat ini seramai 230 orang sudah dihantar, itupun kita hantar ke Maeps dan kalau ada kenaikan PATI yang positif di depoh, katil yang ada mampu menampungnya.

“Selain itu, mengenai PATI yang tinggal secara haram di luar tapak pembinaan mereka ini tiada Standard Prosedur Operasi (SOP) kerana masuk secara haram ke negara ini.

“Selain itu, tindakan akan diambil oleh Jabatan Imigresen Malaysia kepada PATI yang tinggal di luar tapak pembinaan,” katanya. – MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here