NGO : Sokong mereka berbakti, jangan dihalang

0
217

Pertubuhan bukan kerajaan atau NGO ditubuhkan atas pelbagai matlamat dan niat. Ada yang berfungsi secara pengurusan semata-mata dan ada yang sampai sanggup berpanas dan berlumpur ketika turun ke padang.

Fungsi dan operasi antara NGO sememangnya tidak sama bahkan lebih malang lagi ada di antaranya yang diwujudkan semata-mata untuk menyedut ‘dana-dana mudah’ dan menggunakan sumber kewangan itu untuk bermewah.

Ada yang menghabiskan untuk trip-trip ke luar negara dan ada yang memperuntukkan bayaran gaji tinggi kepada kakitangan pengurusan. Amalan berselindung di sebalik imej ‘murni’ NGO ini adalah perkara biasa.

Apa pun, sejauh mana keikhlasan pentadbir-pentadbir NGO ini, biarlah ia menjadi urusan antara mereka dengan tuhan.

Tujuan penulis menyebut pasal NGO kali ini bukan untuk melihat sisi kotor badan itu tetapi untuk mengajak kita mengangkat sumbangan organisasi itu yang ada kalanya tidak didendang oleh masyarakat dan kerajaan.

Dalam kemelut Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini, rakyat Malaysia cukup bertuah kerana dibanjiri kemunculan ratusan NGO yang tampil membantu golongan yang terkesan.

Penderitaan yang dihadapi masyarakat di peringkat akar umbi itu ada kalanya tidak langsung kedengaran pada pengetahuan agensi-agensi kerajaan yang berkenaan.

Bukan mahu menuding jari, tetapi dikala agensi kerajaan dilihat kurang efektif dalam memaksimumkan koordinasi pengagihan bantuan, kewujudan NGO-NGO ini terlalu banyak membantu.

Justeru kewujudan mereka tidak seharusnya dilihat sebagai musuh atau pengacau sebaliknya jika disusun dan diatur dengan baik, kerjasama dengan kumpulan NGO ini mampu mewujudkan barisan ‘pemudah cara’ yang berkesan dalam urusan pengagihan bantuan.

Selain mempunyai maklumat dan data golongan penerima yang ‘genuine’ dan terkini, kebanyakan sukarelawan NGO juga dilengkapi pelbagai kemahiran misi bantuan.

Kecekapan mengatur pergerakan gerak pantas, mengatur pergerakan konvoi, kemahiran menggunakan komunikasi radio amatur sehinggalah membaiki sendiri kenderaan dalam situasi kecemasan.

Kesemua karakter ini menjadi modal yang penting dalam keberkesanan sesebuah NGO terlibat dalam misi bantuan.

Lebih mengagumkan, komitmen dan pengorbanan yang dicurahkan mereka tidak ternilai tingginya. Ada yang sanggup meninggalkan keluarga malah ada yang sanggup mengeluarkan duit poket sendiri untuk sama-sama menyumbang.

Disebabkan keberkesanan kumpulan itu yang lebih pakar dalam selok-belok golongan masyarakat yang memerlukan, orang ramai kini semakin selesa untuk bergantung kepada NGO.

Bahkan ada kalanya bantuan yang tiba daripada NGO ini jauh lebih awal dan ‘mewah’ daripada diterima daripada Yang Berhormat, wakil rakyat atau ketua komuniti mereka sendiri.

Dalam konteks operasi misi bantuan di negara ini, penulis berpendapat sudah tiba masanya kerajaan mewujudkan jalinan kerjasama lebih akrab antara NGO dengan agensi-agensi kebajikan supaya matlamat membantu masyarakat dapat dimaksimumkan.

Peraturan yang mungkin terlalu ketat mungkin boleh dilonggarkan atau diganti dengan kaedah pemantauan prestasi dan sebagainya, kerana realitinya dalam situasi sukar sekarang ini, peranan mereka amatlah dihargai.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here