NGO tekad teruskan sumbangan untuk barisan hadapan

0
267
Nor Shabudin Monil (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan makanan kepada anggota sukarelawan di Kuala Lumpur semalam.

CYBERJAYA – Walaupun kes Covid-19 hanya mencatatkan dua angka sejak beberapa hari lalu namun tugas pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membantu barisan hadapan tetap akan diteruskan sehingga Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berakhir.

Menurut Pengerusi Pertubuhan Pusat Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti, Datuk Nor Shabudin Monil, wabak tersebut mungkin tidak akan selesai dalam masa terdekat dan semua pihak harus bekerjasama membantu pihak yang memerlukan.

“Hari ini kita serahkan bantuan makanan sumbangan Restoran Hyderabad kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk disalurkan kepada barisan hadapan.

“Pihak NGO dan penyumbang akan terus bekerjasama bagi memastikan usaha mengekang rantaian Covid-19 dapat diputuskan sehingga ke satu masa yang belum pasti,”katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan di sini semalam.

Nor Shabudin berkata, apa yang penting rantaian bantuan sumbangan makanan dan lain-lain untuk barisan hadapan tidak akan terputus.

Mengulas mengenai kerjasama syarikat korporat dan individu dalam memberi sumbangan, beliau berkata, rakyat Malaysia tidak mengira agama, bangsa dan budaya sentiasa ringan tangan dalam memberi bantuan yang diperlukan.

“Saya berharap sikap begini dicontohi oleh semua pihak agar kebajikan barisan hadapan terus terjaga.

“Walaupun sumbangan ini tidak seberapa berbanding jasa mereka semua ia diharap memberi sedikit keselesaan kepada pihak terlibat,” katanya. – MT