
Oleh NURUL FIRDAUS KHAIRI
MENJADI amalan sepanjang bulan Ramadan pelbagai pihak membudayakan amalan bersedekah dalam kehidupan mereka.
Betapa baiknya jika amalan ini dapat dikekalkan sepanjang tahun supaya dapat memanfaatkan rezeki yang Allah berikan, sebelum rezeki yang banyak itu tidak mendatangkan apa-apa keuntungan kepada pemiliknya.
Penulis sering membayangkan kisah-kisah hidup masyarakat yang suka menghabiskan wang ringgit untuk kehidupan dirinya sahaja sedangkan terdapat kelompok yang terpaksa kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang.
Sesetengah orang melihat sedekah ini tidak mendatangkan apa-apa faedah dengan alasan kononnya harta yang dimiliki itu merupakan hasil titik peluh mereka.
Tetapi pernah tak terfikir atau tidak ketika Allah luaskan rezeki kita, terselit rezeki orang lain.

Penulis rasa terpanggil berkongsi cerita di mana salah seorang rakan penulis berdepan dengan kesempitan hidup akibat suaminya terpaksa diberhentikan kerja dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan Covid-19.
Di saat bekalan dapur hanya tinggal untuk sehari dua lagi, wanita itu masih meneruskan sikapnya memasak juadah berbuka puasa dan kemudiannya dikongsikan kepada jiran tetangga.
Katanya, amalan itu memang dilakukan sejak sebelum PKP lagi namun tidak sangka nikmat bersedekah yang dipraktikkan itu telah digantikan dengan nikmat keluarga yang bahagia, anak-anak yang mendengar kata, malah keluarga itu difahamkan tidak putus-putus menerima tajaan bekalan makanan daripada para dermawan.
Fikir baik-baik betapa mulianya rakan penulis apabila rezeki yang diterima masih sempat diinfaqkan juga kepada orang lain sebagai tanda syukur dengan pemberian orang sekeliling.
Bagi penulis, itu janji Allah dalam al-Quran dan pahalanya terus mengalir.
Benar juga kata para alim ulamak, apabila seseorang mendapat nikmat sedekah, dia tidak kisah lagi berapa banyak wang yang dikeluarkan walaupun sebenarnya dirinya bukanlah orang senang.
Perkongsian seorang lagi rakan yang diuji dengan masalah keluarga juga memberi impak kepada penulis.
Bergelar ibu tunggal dengan menyara empat orang anak lelaki yang masih kecil menjadikan dirinya kuat untuk mencari nafkah walaupun terpaksa mengambil upah menjadi ‘runners’ perkhidmatan pesanan makanan.
Istiqomahnya dia dalam mencari rezeki yang halal sepanjang Ramadan ini apabila mengenakan caj perkhidmatan yang terlampau murah bagi memudahkan urusan orang lain.
Itu pula cara dia bersedekah!
Jadi, sejauh mana usaha kita jika mereka diuji dengan kesusahan, kita pula diuji sama ada sanggup atau tidak untuk membantu meringankan beban mereka.
Penulis sekali lagi berharap supaya diri sendiri dan orang ramai untuk turut serta bersedekah di mana-mana platform seperti di www.sadaqahmarket.com.
Bersedekah walaupun kita dalam kesempitan kerana ganjarannya nanti lebih hebat!