Panggilan kedai pajak gadai itu realiti

0
189

APA Khabar Orang Kita…Bagaimana, masih ada beras di dapur untuk ditanak?. Masih ada susu untuk si kecil dirumah?. Harap semuanya baik-baik sahaja.

Keadaan tidak menentu sekarang menyebabkan ramai ‘orang kita’ berdepan dengan masalah ekonomi, tidak kira yang bujang mahupun berkeluarga.

Diakui, ketika ini ramai yang hilang kerja dan punca pendapatan selain gaji terpaksa dipotong kerana syarikat terkesan akibat pandemik Covid-19.

Untuk yang hilang kerja dan punca pendapatan, berusahalah untuk mencari ‘padang baharu’ yang lebih hijau. Insya-Allah ada rezeki untuk anda dan keluarga.

Bagi yang terkesan akibat pemotongan gaji, berbelanjalah secara berhemah. Susun sebaik mungkin perbelanjaan agar ia cukup hingga akhir bulan.

Situasi sekarang jelas mengakibatkan ‘orang kita’ terkesan dalam aspek ekonomi, mungkin juga mengakibatkan perubahan cara hidup yang ketara.

Maka, tidak hairanlah jika di kedai-kedai pajak gadai sekarang terdapat barisan panjang. kita boleh agak apa urusan mereka di situ, semoga dipermudahkan.

Terima kasih juga kepada kerajaan yang tampil dengan pelbagai bantuan untuk rakyat terkesan. Semua lapisan masyarakat mendapat manfaat lebih baik.

Baru-baru ini, kerajaan juga telah bersetuju untuk melanjutkan tempoh rayuan permohonan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) sehingga 31 Mei depan.

Terima kasih kerana peka dengan nasib mereka memerlukan ini. Dalam tempoh ini, boleh lah ke kaunter Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terdekat.

Ramadan ini, kita boleh berjimat cermat serta berbelanja secara berhemah. Pertingkatkan amal ibadat dan berdoa kehadrat ilahi agar dimurahkan rezeki.

Selepas ini, Syawal pula bakal menjelma. Pastinya dalam benak pemikiran pelbagai agenda yang dirancangkan walaupun kita beraya di perantauan.

Berbelanjalah secara berhemah dan ingat bahawa hari esok masih ada, elakkan pembaziran dan utamakan apa yang perlu sahaja.

Apa yang penting, raya tetap raya walaupun raya di perantauan-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here