‘Pasar raya jangan buat undang-undang sendiri’

0
124

Oleh NINA FARZUIN MD SHAROM

CYBERJAYA – Pemakaian topeng muka bukan perkara wajib yang tertakluk di dalam Akta 342 serta prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini bermakna orang ramai yang tidak memakai topeng muka tidak melakukan kesalahan di bawah Akta 342 atau peraturan-peraturan di bawahnya.

“Saya berharap supaya pihak pasar raya tidak mengambil undang-undang sendiri mengenakan sesuatu halangan yang bertentangan dengan peruntukan di bawah akta dan peraturan,” katanya pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Penjelasan tersebut adalah berhubung aduan kepada tindakan segelintir pasar raya yang tidak membenarkan orang ramai masuk ke premis tersebut tanpa memakai topeng muka.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, walau bagaimanapun rakyat juga digalakkan untuk memakai topeng muka demi menjaga keselamatan diri.

“Bagi mengelakkan situasi pelanggan datang dari jauh dan tidak boleh masuk ke pasar raya, saya mencadangkan agar pihak pengurusan pasar raya tersebut meletakkan topeng muka di luar premis untuk dijual kepada pelanggan yang tidak ada topeng muka.

“Tapi jangan paksa orang beli sekotak pula, kerana penjualan itu bertujuan untuk memudahkan dan membenarkan pelanggan masuk sahaja,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here