
CYBERJAYA – Hari Palang Merah Sedunia yang disambut setiap 8 Mei kali ini berbeza pada tahun-tahun sebelum ini apabila pandemik Covid-19 melanda seluruh dunia dengn jumlah kes positif wabak itu telah mencecah lebih empat juta orang.
Tahun ini, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) cawangan Pulau Pinang mengubah aktiviti sambutan itu dengan memasak dan mengedarkan bubuk lambuk kepada petugas barisan hadapan yang menjalankan tanggungjawab mengekang Covid-19 di negara ini.
Dalam satu kenyataan persatuan itu, mereka bersama jiran-jiran PBSMM bergabung tenaga melakukan aktiviti tersebut sebagai tanda sokongan dan penghargaan buat petugas barisan hadapan.
Menurut kenyataan itu, aktiviti memasak bubur lambuk diadakan dengan melibatkan bilangan orang yang terhad dan mematuhi garis panduan jarak sosial yang betul.
“Ini adalah langkah berjaga-jaga untuk memutuskan rangkaian Covid-19 di samping memberi khidmat kemasyarakatan.
“Bubur lambuk yang dimasak ini itu kemudian diagihkan kepada 900 petugas barisan hadapan melibatkan kakitangan kesihatan, polis, tentera dan bomba,” kata kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, pihaknya mengagihkan ke lima-lima daerah iaitu Timur Laut, Barat Daya, Seberang Perai Utara, Seberang Prai Selatan serta jiran-jiran PBSM dan Wisma Yatim Pulau Pinang. -MT