Pejabat LHDN diserbu pemohon BPN

0
274
Pemohon BPN banjiri LHDN Cawangan Bangi

CYBERJAYA – Orang ramai di sekitar Bandar Baru Bangi dan Kajang hari ini membanjiri pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cawangan Bangi seawal 7.30 pagi bagi membuat rayuan permohonan Bantuan Prihatin Nasional (BPN).

Tinjauan Malakat Tribune di bangunan berkenaan mendapati orang ramai mula menunggu kira-kira setengah jam sebelum pejabat agensi kerajaan itu memulakan operasi.

Pejabat LHDN Cawangan Bangi di Bandar Baru Bangi.

Kehadiran orang ramai di situ dikawal oleh petugas keselamatan dan polis bantuan bagi memastikan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19.

Di pintu utama, setiap pelanggan yang memasuki kawasan pejabat LHDN itu diwajibkan melalui pemeriksaan suhu badan.

Pemerhatian juga mendapati situasi masih terkawal ekoran penjarakan sosial yang baik dan kawasan berbaris yang luas.

Proses permohanan dibahagikan kepada empat peringkat iaitu beratur dalam barisan, melakukan semakan kelayakan, menyerahkan dokumen sokongan dan pengesahan serahan dokumen.

Menurut notis yang ditampal di bangunan tersebut, waktu operasi LHDN bagi permohonan rayuan BPN bermula dari pukul 8.30 pagi hingga 4 petang sehingga 31 Mei ini.

Perdana Menteri, Tan Seri Muhyiddin Yassin kelmarin mengumumkan lanjutan tempoh rayuan permohonan BPN selepas kerajaan menerima pelbagai rungutan orang ramai yang gagal menerima bantuan itu atas pelbagai sebab.

Pemohon BPN yang hanya mahu dikenali sebagai Muhd. Khairi berkata, keputusan kerajaan melanjutkan tempoh permohonan itu adalah langkah yang wajar kerana masih ramai pemohon yang ditolak kelayakan atas sebab-sebab tidak munasabah.

“Seperti sistem untuk BPN ini masih belum bersedia ketika ia dilancarkan. Saya harap kerajaan dapat mengemaskini semula supaya pembahagian bantuan ini lebih adil,” katanya. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here